suria

Lobi Bangunan SUK Pula Dipenuhi Media

SHAH ALAM: Lobi Bangunan SUK di sini dikerumuni pengamal media seawal pukul 8 pagi Selasa bagi membuat liputan perkembangan terkini hasil pertemuan menteri besar dengan exco-exco kerajaan negeri Selangor.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri tiba di pekarangan bangunan tersebut pada kira-kira pukul 9.40 pagi.

Sebelum itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim tiba seawal pukul 8 pagi. 

Seterusnya, dua ahli Exco dilihat memasuki bangunan tersebut iaitu Elizabeth Wong (PKR) dan Dr Yunus Hairi (PAS).

Pada Isnin, petugas media telah 'berkampung' di luar pintu kawasan Istana Alam Shah di Klang berikutan pertemuan Khalid dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung kedudukannya sebagai menteri besar.

Susulan pertemuan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang itu mengumumkan yang beliau masih kekal memegang jawatan itu selepas mendapat perkenan daripada Sultan.

Khalid mengumumkan akan bertemu dengan semua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor bagi mengetahui pendirian mereka terhadap kepimpinannya.

Tegasnya, mana-mana Exco yang tidak setuju bekerja dibawah pimpinan beliau dinasihatkan untuk meletak jawatan.

Khalid juga memaklumkan beliau mendapat sokongan empat Exco PAS sekali gus membolehkan beliau terus mentadbir Selangor tanpa sebarang masalah.




Artikel Lain