suria

Pelajar Tingkatan 3 Maut Rempuh Jip

KUANTAN:  11 Ogos (Bernama) Seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah jip di Jalan Kampung Soi-Perkampungan Kempadang Perdana di sini, malam Ahad.

Ketua Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata dalam kejadian 9.10 malam itu, Mohamad Ikmal Iman Radzuan, 15, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Nahas berlaku semasa jip berkenaan hendak membelok ke kanan untuk ke simpang Perkampungan Kempadang Perdana sebelum secara tiba-tiba ia dilanggar oleh mangsa, katanya di sini Isnin.

Pemandu jip itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya.

Beliau berkata mayat mangsa yang berasal dari Kampung Kempadang Perdana itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk dibedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kuantan, Polis

Artikel Lain