suria

Isu MB: Petugas Media Berkumpul di Istana Alam Shah

KLANG: Seramai 50 petugas media berkumpul di perkarangan Istana Alam Shah di sini bagi menanti keputusan mesyuarat Majlis Penasihat Raja-Raja yang akan menentukan kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor pada Isnin.

Wartawan, jurugambar dan jurukamera itu masing-masing tiba seawal pukul 8 pagi untuk membuat liputan mengenai status menteri besar negeri tersebut.

Liputan awal terarah kepada ketibaan Khalid di perkarangan istana pada pukul 8.45 pagi menaiki kenderaan pacuan empat roda berwarna hitam.

Sehingga pukul 11.50 pagi, Khalid masih belum beredar keluar dari istana.

Beliau menjadi tumpuan media bagi mendapatkan reaksi, hasil mesyuarat dan statusnya.

Situasi politik Selangor semakin hangat diperkatakan apabila Khalid dipecat serta-merta oleh parti menerusi Lembaga Disiplin Parti Sabtu lalu.

Tindakan dibuat PKR kerana Khalid didakwa enggan memberi laluan kepada Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk dilantik sebagai menteri besar baharu.

Kredibiliti dan intergriti menteri besar yang memasuki penggal kedua itu turut dipertikai kerana gagal menjelaskan kepada parti berhubung hutangnya dengan Bank Islam.

Selain itu, Khalid turut didakwa sering membelakangkan parti dalam membuat keputusan berhubung pentadbiran negeri yang diterajui Pakatan Rakyat.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain