TINDAKAN seorang juruteknik berpura-pura menguji sambungan Wi-Fi sebelum mencuri video intim daripada telefon bimbit pelanggan mengundang padah apabila dia ditahan pada 11 September lalu.Berdasarkan laporan pada Rabu, perbuatan pelaku terbongkar apabila mangsa menemukan salinan mesej berkenaan menerusi iPad miliknya yang disambungkan kepada akaun sama. Menurut polis, Logan Edward Gray-McCannon, 37, merupakan pekerja kontrak ITC Service Group Acquisition yang menjalankan tugas bagi syarikat GFiber, sebelum ini dikenali sebagai Google Fiber.Kejadian dipercayai berlaku ketika suspek mengunjungi kediaman mangsa di Hemet, California, Amerika Syarikat bagi melakukan kerja berkaitan perkhidmatan internet.Dalam kunjungan tersebut, suspek didakwa meminta telefon bimbit wanita itu dengan alasan mahu menguji liputan Wi-Fi di beberapa bahagian rumah.Percaya dengan kata-kata suspek, mangsa kemudian menyerahkan telefon bimbitnya.Tindakannya itu membuatkan suspek mengambil kesempatan membuka kandungan peribadi dalam telefon itu sebelum menemukan sebuah video intim yang dihantar mangsa kepada pasangannya.Tidak hanya itu, suspek kemudian didakwa menghantar rakaman tersebut kepada nombor telefonnya sendiri menerusi aplikasi iMessage sebelum memadam mesej berkenaan.Bagaimanapun tindakannya terbongkar selepas wanita itu melihat mesej sama masih tersimpan di dalam iPad miliknya, lalu membuat laporan kepada pihak berkuasa.Susulan siasatan dijalankan, Gray-McCannon ditahan pada 11 September lalu dan berdepan pertuduhan pecah masuk komersial, mengakses peranti tanpa kebenaran serta menyebarkan imej intim tanpa persetujuan.Polis turut mengesyaki terdapat kemungkinan mangsa lain dan meminta individu yang pernah berdepan pengalaman sama supaya tampil membantu siasatan. -Agensi