suria

Md Yusof Dilantik Panglima 3 Briged Baharu

KUCHING: Brig Jen Md Yusof Aziz telah dilantik sebagai Panglima 3 Briged yang baharu menggantikan Brig Jen Datuk Mohd Nazir Mami yang berpindah tugas ke Kementerian Pertanahan.

Majlis serah terima tugas berlangsung di padang kawad Batalion Ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Semenggo di sini hari ini dengan disaksikan Panglima Memerintah Wilayah Timur, Lt Jen Datuk Zaki Mohktar.

Memberitahu pemberita kemudiannya, Md Yusof yang baru kembali dari melanjutkan pelajaran di Universiti Pertahanan Kebangsaan, Amerika Syarikat berkata beliau berazam untuk melakukan yang terbaik bagi briged tersebut.

Beliau berkata beliau mempunyai perancangan sendiri tetapi berjanji akan meneruskan corak kepimpinan Mohd Nazir.

"Datuk Mohd Nazir telah meletakkan briged ketiga di puncak dan saya berjanji untuk mengekalkan kecemerlangan itu," tambah beliau.

Beliau sebelum ini pernah di Kanowit.

Sementara itu Mohd Nazir berkata beliau merasa puas dan berbangga dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang baik semasa berkhidmat di Sarawak dalam tempoh setahun.

Menurut beliau, 3 Briged mendapat pengiktirafan di peringkat kementerian dan tentera darat sendiri seperti penarafan empat bintang dalam 'Audit Aims' dan tempat kedua dalam pertandingan inovasi tentera darat bagi kategori pengurusan briged.

Beliau berkata masalah disiplin dapat dibendung dalam kalangan anggota briged manakala pengurusan logistik dan pentadbiran dapat ditingkat.


Tentera, 3 Briged

Artikel Lain