suria

Krisis Selangor: Exco Tidak Perlu Letak Jawatan

PETALING JAYA: Pemecatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar tiada kaitan dengan kedudukan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor.

Sehubungan itu Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), N Surendran menegaskan bahawa Exco Selangor dibawah pentadbiran Abdul Khalid yang dipecat daripada parti itu tidak perlu meletak jawatan.

"Tidak ada sebab mengikut Perlembagaan Selangor supaya exco meletak jawatan pada masa ini.

"Pemecatan Abdul Khalid oleh partinya hanya memberi kesan kepada beliau secara peribadi dan mengakibtakan beliau tidak boleh mempertahankan kedudukannya sebagai Menteri Besar," katanya pada Isnin.

Beliau mengulas mengenai pandangan sesetengah pihak sebelum ini yang memberi gambaran bahawa Selangor kini tidak mempunyai kerajaan ekoran pemecatan Abdul Khalid.

"Perkara 53 (7) menyatakan bahawa exco memegang jawatan atas perkenan raja atau sultan.

"Oleh itu pemecatan Menteri Besar tidak menafikan kuasa eksekutif exco atau meletakkan apa-apa obligasi kepada mereka untuk meletak jawatan," katanya.

Selain itu menurut Surendran yang juga seorang peguam, Perkara 50 Perlembagaan negeri menyatakan kuasa eksekutif negeri boleh dilaksanakan oleh ahli exco dengan pertimbangan sultan.

Artikel Berikut

Artikel Lain