suria

MH17: Kabinet Tetapkan Tarikh Ketibaan Jenazah Mangsa

Hishammuddin mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Menyambut Jenazah Mangsa Tragedi MH17 di Kementerian Pertahanan di sini, hari ini. Turut hadir (kanan) Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
KUALA LUMPUR: Tarikh upacara menerima jenazah mangsa nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH17 akan ditentukan dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu depan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, perkara tersebut akan dibentangkan dalam mesyuarat bersama jemaah menteri dan keputusan mengenainya akan diumumkan selepas itu.

"Saya faham sangat kerana keperitan dan luahan rakyat biasa amat unik dan cara bagaimana untuk libatkan mereka ini perlu mendapat keputusan jemaah menteri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Menyambut Jenazah Nahas MH17 di Kementerian Pertahanan di sini, Khamis.

Bagaimanapun, Hishammuddin berkata, pihak kementerian yang terbabit turut diminta mendekati keluarga mangsa bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai upacara berkabung itu.

"Sebenarnya kita dari awal lagi memberi keutamaan kepada kemahuan keluarga mangsa. Kita hormati keutamaan mereka.

"Namun kita di sini mesti buat persiapan mengambil tanpa mengira agama dan latar belakang pihak keluarga yang dikenal pasti," katanya.

Malah, Hishammuddin berkata, langkah untuk mengadakan upacara berkabung tanpa jenazah mangsa nahas MH17 seperti yang dilakukan oleh Australia antara cadangan yang akan dipertimbangkan dalam mesyuarat Kabinet nanti.

"Ia satu lagi pilihan dan kaedah terbaik untuk memberi penghormatan terakhir kepada mangsa dan keluarga terlibat," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai penghantaran jenazah mangsa ke Malaysia, beliau berkata, kerajaan akan memutuskan penghantaran secara beramai-ramai atau berperingkat selepas proses mengenal pasti mayat diumumkan pihak Belanda.

MAS, MH17, jenazah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain