suria

Pegawai Polis Lepas Bebas Daripada Tuduhan Rasuah

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai polis pada Khamis dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan meminta suapan RM6,000 daripada seorang wanita berhubung pembebasan suaminya yang ditahan.

Hakim Mohd Nasir Nordin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Inspektor Suriati Mohd Shafie, 32, di akhir kes pendakwaan.

Pada 9 September tahun lepas, Suriati didakwa meminta suapan RM6,000 daripada Nurullizean Yahya sebagai dorongan membantu melepaskan suaminya, Tchouanseu Tchounga Armand, warga Cameroon, yang disyaki terlibat kes samun.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Bilik Pejabat Tingkat 3, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields (Balai Polis Petaling), jam 1 tengah hari, 22 Januari tahun lalu, mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga RM10,000, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Mohd Nasir memerintahkan Suriati membela diri terhadap pertuduhan bersetuju menerima RM4,000 daripada Nurullizean bagi tujuan sama selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan itu.

Mohd Nasir menetapkan 3 Oktober depan untuk tertuduh membela diri.

Sementara itu, seorang lagi pegawai polis ASP S. Ravintharan, 51, yang turut didakwa bersama Suriati bagi pertuduhan bersetuju terima rasuah dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.

Suriati dan Ravintharan didakwa melakukan perbuatan itu di lokasi dan tarikh sama antara 8.30 malam dan 9.30 malam.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga RM10,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Wong Poi Yoke manakala Suriati diwakili peguam Ebrina Zubir dan Ravintharan diwakili peguam Geethan Ram Vincent.
pegawai polis, rasuah

Artikel Lain