suria

Rasuah: Pengurus Projek Dipenjara Sehari, Denda RM30,000

KUALA LUMPUR: Seorang pengurus kanan projek syarikat pembinaan dipenjara sehari dan didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan iaitu menawar dan memberi rasuah kepada seorang eksekutif kanan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), tahun lepas.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM15,000 bagi setiap pertuduhan terhadap Yong Yaw Loong, 37, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara secara serentak mulai Khamis.

Mahkamah juga memerintahkan Yong menjalani hukuman penjara 12 bulan bagi setiap pertuduhan, jika gagal membayar denda itu. Bagaimanapun Yong membayar denda berkenaan.

Bagi pertuduhan pertama, Yong didakwa secara rasuah menawarkan suapan wang berjumlah RM3,000 kepada Nasir Othman, yang bertugas di Seksyen Penguatkuasaan, Jabatan Perundangan dan Penguatkuasaan, Syabas, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang atas kesalahan membuat penyambungan bekalan air secara tidak sah di tapak pembinaan.

Yong didakwa melakukan kesalahan itu di tapak pembinaan bilik mesyuarat Pembinaan Bintang Baru Sdn Bhd di Lot 233 dan 140, Jalan Ampang Seksyen 89, Ampang dekat sini, pada 3.20 petang, 26 Jun 2013.

Bagi pertuduhan kedua, Yong didakwa secara rasuah memberikan suapan wang berjumlah RM3,000 kepada Nasir untuk tujuan sama di tempat sama pada 3.50 petang hari yang sama.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mengikut fakta kes, tertuduh menawarkan wang RM3,000 kepada Nasir bagi menyelesaikan kes penyambungan air secara tidak sah tanpa memanjangkan kes itu kepada pihak berkuasa.

Nasir bagaimanapun menolak tawaran itu, namun tertuduh tetap memberikannya 30 keping wang RM100 sebelum tertuduh ditahan pegawai SPRM.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM Wong Poi Yoke memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal memandangkan kesalahan rasuah adalah serius namun peguam L. Ramesh yang mewakili Yong memohon hukuman minimum kerana anak guamnya telah mengaku bersalah selain perlu menanggung isteri dan tiga anak.
rasuah, pengurus projek

Artikel Lain