suria

MH17: Dedah Laporan Awal Siasatan Minggu Depan

Liow dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein melihat skrin raptai istiadat tentera semasa mempengerusikan mesyuarat Persiapan Menyambut Jenazah mangsa tragedi MH17 di Kementerian Pertahanan di sini, Khamis.
KUALA LUMPUR: Laporan awal hasil siasatan pada data kotak hitam pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH17 yang dipercayai ditembak jatuh kumpulan pemisah pro Rusia di timur Ukraine akan didedahkan, minggu depan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, maklumat dari kotak hitam itu penting untuk mengenal pasti punca nahas pesawat tersebut.

"Semua data mengenai hasil siasatan awal sedia untuk didedahkan pada minggu depan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat pertama jawatankuasa koordinasi persediaan pelaksanaan istiadat penerimaan jenazah rakyat Malaysia yang terbabit dalam nahas MH17 di Kementerian Pertahanan di sini, Khamis.

Jelas Liow, siasatan di kawasan nahas masih diteruskan dan penyiasat sedang mengumpul data dari serpihan pesawat tersebut.

"Proses siasatan MH17 berjalan baik dan mesyuarat siasatan awal yang diketuai penyiasat Belanda dan Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) telah diadakan," katanya.

Pesawat MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas di timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia pada 17 Julai lalu.

Pesawat Boeing 777-200 yang membawa 298 orang termasuk 15 anak kapal tersebut dipercayai ditembak jatuh tetapi tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan perbuatan kejam itu.

Seramai 43 rakyat Malaysia adalah antara penumpang dan anak kapal yang berada di dalam pesawat tersebut.

Artikel Lain