suria

Kementerian Kesihatan Awasi Jangkitan Virus Ebola

Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya
GEORGE TOWN: Kementerian Kesihatan sedang mengawasi jangkitan Penyakit Virus Ebola (EVD) ke negara ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Beliau berkata kementerian telah mengambil pelbagai langkah termasuk menyaring penumpang di semua pintu masuk utama.

Setakat ini tiada notifikasi sebarang kes EVD di Malaysia tetapi langkah berjaga-jaga mesti diteruskan, katanya.

"Langkah tersebut termasuk menyaring suhu badan penumpang, mengenal pasti dan mengendali penumpang yang mempunyai simptom, segera memberitahu kementerian dan merujuk kes ke hospital terdekat," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya mengelak daripada melawat negara Afrika Barat buat sementara waktu kerana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan 1,603 kes termasuk 887 kematian berlaku di empat negara Afrika Barat sejak 4 Ogos lalu.

Negara tersebut ialah Guinea, Liberia, Sierra Leone dan Nigeria.

Dr Hilmi berkata Kementerian Pendidikan turut dinasihati agar menyaring pelajar asing yang kembali ke negara Afrika yang dijangkiti Ebola.

"Kita juga bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk menyalur maklumat mengenai Ebola kepada mereka yang mahu pergi ke negara terbabit selain kepada rakyat Malaysia yang sudah berada di sana," katanya.

Ebola tersebar menerusi hubungan langsung cecair badan dan tisu mereka yang dijangkiti. Kadar kematiannya meningkat sehingga 90 peratus.

Simptomnya termasuk demam teruk, muntah, cirit-birit dan kegagalan buah pinggang dan hati.

Artikel Sebelum

Artikel Lain