suria

Syabu Ditemui Dalam Tumit Kasut Wanita

Pengarah Kastam Kedah Datuk Abd Aziz Abdul Latif (dua, kiri) bersama pegawainya menunjukkan bagasi dan bungkusan putih berisi dadah disyaki dadah jenis syabu dan empat pasang kasut wanita yang turut mengandungi dadah disyaki syabu bernilai bernilai RM632,510 ketika mengadakan sidang media di Pejabat Kastam Alor Setar, Khamis. Turut sama Ketua Bahagian Penguatkuasa Kastam negeri, Mohd Shokri Yahya (kiri). -fotoBERNAMA
ALOR SETAR: Syabu ditemui dalam plastik yang dimasukkan dalam tumit empat pasang kasut wanita daripada seorang lelaki warga Indonesia di Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam, Selasa lepas.

Dadah berkenaan adalah antara 3.329 kilogram syabu bernilai RM632,510 yang ditemui daripada keldai dadah berkenaan oleh Kastam Diraja Malaysia Kedah.

Pengarahnya Datuk Abd Aziz Abdul Latif berkata dadah itu ditemui pada lelaki berkenaan yang berumur 32 tahun kira-kira 2.30 petang yang suspek dalam perjalanan dari Hatyai, Thailand menuju Kuala Lumpur.

Beliau berkata hasil imbasan ke atas bagasi suspek di Unit Pemeriksaan Penumpang dan Pejalan Kaki di kompleks berkenaan, kelihatan imej yang mencurigakan kerana kandungan beg yang memuatkan kasut itu didapati lebih padat.

"Pemeriksaan lanjut seterusnya menemui empat pasang kasut wanita yang diletakkan di dalam sebuah beg kecil yang dimasukkan pula di dalam beg besar berkenaan.

"Suspek turut didapati telah memasukkan bungkusan dadah di dalam tapak-tapak kasut tersebut serta mengubah suai ruang dalam beg itu dengan melekatkan bungkusan dadah pada bahagian dinding beg dan meletakkan plastik tebal padanya.

"Dua bungkusan dadah yang diletakkan di dinding beg masing-masing seberat 1.4 kilogram dan 1.1 kilogram manakala lebihan dadah dibungkus di dalam plastik kecil yang diletakkan di dalam tumit kasut," katanya dalam sidang media di sini Khamis.

Abd Aziz berkata suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap memberi alasan kasut itu merupakan hadiah untuk keluarganya di Kuala Lumpur.

Beliau berkata ini kali kedua suspek masuk ke Malaysia selepas pertama kali pada 19 Julai lalu.

Katanya suspek ditahan reman mulai semalam hingga 12 Ogos dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
syabu, BUkit Kayu Hitam

Artikel Sebelum

MB Selangor: Azmin Layak

Artikel Lain