suria

Rancang Rundingan Damai Khalid - Dr Wan Azizah

Anwar, Dr Wan Azizah dan Khalid antara tiga individu utama dalam krisis Menteri Besar Selangor
PETALING JAYA: Satu 'rundingan damai' antara Tan Sri Khalid Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi membincangkan kedudukan Menteri Besar Selangor. 

Setiausaha Politik Khalid, Azman Abidin berkata, dia sedang mengatur pertemuan tersebut dan ia bakal diadakan dalam masa satu atau dua hari lagi.

Krisis membabitkan isu kerusi panas itu menimbulkan pelbagai spekulasi termasuk mengenai rancangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mengambil tindakan disiplin terhadap Khalid sekiranya beliau enggan meletak jawatan sebagai Menteri Besar.  

Lebih memburukkan keadaan apabila, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution menyatakan parti itu akan mendedahkan salah laku yang dilakukan Khalid melibatkan isu tanah dan tawaran perniagaan sepanjang khidmatnya di kerajaan negeri Selangor. 

Berikutan itu, Khalid turut mencabar pihak yang menuduhnya supaya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Satu mesyuarat biro politik tergempar telah diadakan pada malam Ahad, antara lain membincangkan tindakan yang boleh dilakukan dalam tempoh seminggu sekiranya Khalid enggan meletakkan jawatannya. 

Walaupun Azman mengakui tindakan disiplin adalah jalan terakhir, bagaimanapun sumber menyatakan surat tunjuk sebab akan dikeluarkan terhadap Khalid.

Tindakan memecat Khalid akan diambil sekiranya beliau gagal memberi maklum balas munasabah terhadap surat tunjuk sebab yang dikeluarkan. 

Disebalik kekeliruan yang berlaku, Azman berkata, dia yakin pertemuan antara Khalid dan Dr Wan Azizah pasti akan berlangsung tanpa kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

"Kita mahu penyelesaian yang positif dalam isu ini dan saya yakin Tan Sri akan bersetuju. Semuanya bergantung kepada kesesuaian masa sekarang ini. Saya sangat berharap dapat mencari penyelesaian yang terbaik untuk beliau (Khalid)," kata Azman. 

Sebelum ini, Khalid telah beberapa kali menolak permintaan Anwar dan Dr Wan Azizah, yang juga Presiden PKR, untuk membincangkan isu yang melibatkan kedudukan Menteri Besar Selangor. 

Beliau juga enggan memberi laluan kepada Dr Wan Azizah yang telah dilantik oleh parti sebagai untuk memegang jawatan Menteri Besar, bagaimanapun PKR berdepan dengan tentangan daripada pemimpin PAS. 

"Tan Sri tiada isu dengan Kak Wan, namun apa yang penting adalah bagaimana perasaan PAS dan pihak istana dalam isu melibatkan kedudukan Menteri Besar," kata Azman. 

Difahamkan, Anwar mahu Khalid segera berundur sebelum 10 Ogos ini dan Pakatan Rakyat perlu membuat keputusan akhir mengenainya segera. 

Anwar juga mahu mengelak daripada pilihan raya negeri diadakan, namun beliau bimbang Khalid akan mengahadap Sultan Selangor dan mencadangkan kepada baginda agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan sekaligus memaksa pilihan raya negeri diadakan.

Artikel Lain