suria

Draf Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional Tidak Dapat Disiapkan Tahun Ini - Nancy

Nancy Shukri.
GEORGE TOWN: Draf Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional bagi menggantikan Akta Hasutan 1948 tidak dapat disiapkan tahun ini memandangkan banyak perkara perlu diteliti dan dikaji, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.

Beliau berkata tempoh masa untuk menyiapkan draf rang undang-undang itu agak sukar untuk ditetapkan. 

"Kita tak tahu dari segi jangka masanya sebab kita perhatikan banyak perkara yang berlaku dan mungkin boleh kita masukkan dalam rang undang-undang tersebut.
 
"Kita lihat dari segi kes-kes yang didakwa melalui sosial media...itupun boleh dianggap sebagai keharmonian. Tetapi sama ada ia sesuai atau tidak untuk dimasukkan dalam rang undang-undang itu perlu dikaji,," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Jamuan Makan Malam Silaturahim sempena Aidilfitri anjuran Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) di sini, malam Isnin.

 Turut hadir Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Sharif, Presiden Pemenang Tan Sri Mohd Yusof Latiff dan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Nancy berkata pihak Pejabat Peguam Negara sedang mengkaji dan masih lagi menerima input daripada pihak berkepentingan selain bekerjasama dengan Jabatan Perpaduan Negara untuk menghasilkan satu rang undang-undang yang komprehensif.

Beliau berkata perlukan masa untuk menyiapkan rang undang-undang berkenaan kerana ia melibatkan perkara-perkara yang berhubung kait dengan agama, bangsa dan kestabilan politik.

Sementara itu, mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa Peguam Negara solah-olah pilih kasih dalam pendakwaan berhubung kes menghina agama atau kaum di negara ini, Nancy berkata Peguam Negara bergantung kepada siasatan pihak berkuasa yang bertanggungjawab menyiasat sesuatu kes itu bagi menentukan ia mempunyai merit dari segi undang-undang untuk didakwa atau tidak.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain