suria

Awasi Pemakanan Semasa Lebaran, Elak Penyakit

KUALA LUMPUR: Musim Lebaran merupakan satu masa yang dinanti-nantikan umat Islam kerana selain dapat mengeratkan silaturahim dan bermaaf-maafan mereka juga berpeluang menikmati hidangan istimewa seperti rendang, lemang, ketupat, nasi himpit dan lontong.

Dalam keseronokan dan keasyikan menjamu selera dengan juadah-juadah lazat ini, tahukah anda beberapa perkara perlu diawasi kerana kesemua makanan lazat semasa Hari Raya Aidilfitri mampu mengundang pelbagai penyakit jika pengambilannya tidak dikawal dengan baik dan teratur.

Menurut Pensyarah Pemakanan & Dietetik, Universiti Perubatan Antarabangsa, A. Kanimolli, pengambilan makanan berkarbohidrat dalam jumlah yang banyak dan masa yang tidak menentu boleh menyebabkan paras gula darah yang tidak teratur di kalangan individu yang mempunyai penyakit kencing manis sehingga menyebabkan pelbagai komplikasi kepada pesakit kencing manis.

"Kuah rendang, sambal ikan bilis, kuah laksa dan lontong mengandungi kandungan garam dan lemak tepu yang tinggi dan oleh itu pesakit yang mempunyai darah tinggi atau hipertensi harus mengawal pengambilan garam berlebihan.

"Penyakit kencing manis dan hipertensi yang tidak terkawal akan menyebabkan komplikasi kesihatan seperti sakit jantung, kerosakan buah pinggang, strok dan rabun," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Tambah pakar dietetik itu, bagi individu yang sihat dan tiada penyakit, pengambilan makanan yang tinggi kalori secara berlebihan akan menyebabkan kenaikan berat badan mendadak.

"Seseorang individu obes berisiko tinggi untuk mendapat penyakit seperti kencing manis, hipertensi, kanser dan penyakit jantung," katanya.

Biarpun berpotensi mengundang penyakit, namun ia bukan bermakna kesemua juadah lazat itu tidak boleh dinikmati sebaiknya pengambilan makanan itu haruslah dihadkan dan jumlah hidangan yang sepatutnya diambil perlu mengikut keperluan kalori harian.

Setiap individu mempunyai keperluan kalori yang berbeza kerana ia bergantung kepada saiz tubuh badan, jantina, umur, keadaan penyakit dan tahap fizikal seseorang individu.

"Secara umumnya pastikan makanan berkarbohidrat seperti nasi, mi, mihun, roti dimakan satu perempat daripada satu pinggan, sayur-sayuran dan buah-buahan dimakan dan diisi untuk memenuhi separuh pinggan dan makanan berprotein seperti ayam, ikan, daging dan tauhu diambil satu perempat pinggan.

"Semasa berkunjung ke rumah terbuka pula, ambillah makanan yang kurang lemak contohnya ketupat nasi berbanding lemang sebab satu kiub ketupat nasi mengandungi 10kcal manakala sepotong lemang pula mengandungi 100kcal," kata Kanimolli.

Selain itu, beliau turut menyarankan agar pengambilan kuah sate dikurangkan dalam hidangan gado-gado, selain menjamah makanan lain seperti acar, kerabu sayur, kuih kukus, buah-buahan segar dan asam laksa yang hanya mengandungi 250kcal untuk satu mangkuk kecil berbanding laksa kari yang mengandungi hampir 500kcal.

Pakar dietetik itu tidak menafikan mengenai kepentingan menjalin hubungan sesama keluarga dan rakan pada musim perayaan tetapi soal kesihatan juga tidak boleh dipandang enteng dan perlu dijaga bagi menjamin kegembiraan untuk masa yang berpanjangan.

Katanya, amalan pemakanan sihat dan berkhasiat semasa musim lebaran amatlah dituntut demi kesihatan diri tetapi dalam memenuhi undangan rumah terbuka hampir sebulan lamanya, seelok-eloknya pilih makanan yang kurang berkuah kerana kandungan kalori dan lemaknya tinggi.

"Makan secara perlahan-lahan dan menghargai rasa makanan tersebut. Seseorang yang makan dengan cepat perlu makan dalam kuantiti yang banyak untuk rasa kenyang berbanding dengan seseorang yang makan secara perlahan-lahan. Selain itu awasi pengambilan biskut dan kerepek kerana sekeping biskut mengandungi antara 40-60kcal," kata pakar itu.

Kanimolli berkata, tuan rumah yang menganjurkan rumah terbuka perlu meraikan tetamu secara sihat dengan turut menyediakan makanan sihat.

"Sentiasa hidangkan air kosong bersama minuman lain agar tetamu mempunyai pilihan untuk memilih air kosong dengan mengasingkan gula daripada teh dan kopi namun jika tidak dapat berbuat demikian, hidangkan teh, sirap atau kopi kurang manis," katanya.

Kanimolli turut memberikan petua kepada tuan rumah agar menyajikan makanan kurang berlemak seperti apam kukus dan pulut panggang sebagai penganti kepada karipap atau donut.

"Elakkan memilih kekacang dan kerepek sebagai kudapan kepada tetamu sebaliknya hidangkan tetamu dengan buah-buahan segar sebagai pencuci mulut," katanya


Aidilfitri, A. Kanimolli

Artikel Lain