suria

Malaysia Sekali Lagi Kutuk Sekeras-kerasnya Serangan Israel Terhadap Gaza

Penduduk Palestin berlari mencari perlindungan sebaik mendengar letupan bom di kawasan berhampiran Shajaiyeh, Gaza City.
PUTRAJAYA: Malaysia sekali lagi mengutuk sekeras-kerasnya serangan berterusan Israel terhadap Gaza sejak 7 Julai yang setakat ini telah mengorbankan 220 rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak dan wanita serta lebih 1,500 orang cedera.

 

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, Malaysia menggesa semua pihak terbabit supaya tidak melakukan tindakan provokatif.

Di samping itu, beliau menyeru masyarakat antarabangsa, terutama Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), supaya segera bertindak dengan tegas bagi menuntut Israel menghentikan serangan secara besar-besaran terhadap Palestin.

"Kedua-dua pihak perlu segera memulihkan keamanan bagi mengelak berlaku lebih banyak kemusnahan dan lebih banyak nyawa terkorban, terutama dalam kalangan orang awam di Semenanjung Gaza," katanya dalam kenyataan di sini Khamis.

Anifah juga berkata, Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin yang ditubuhkan pada 2002 di bawah kelolaan Wisma Putra, kini bersedia menerima sumbangan kewangan daripada rakyat Malaysia.

Katanya, derma yang dikumpul akan disalurkan kepada penduduk Palestin melalui badan antarabangsa berkenaan bagi membantu meringankan penderitaan mereka.

Sumbangan boleh disalurkan melalui CIMB Islamic Bank di nombor akaun 8600302489. 



Datuk Seri Anifah Aman, Gaza, PBB

Artikel Lain