suria

Mohon Maaf, Saya Tiada Niat Cabar Sultan Selangor - Khalid Samad

Khalid Samad
SHAH ALAM: Ahli Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad merafak sembah memohon ampun dan maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung tindakannya mempersoalkan kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan mencadangkan supaya ia dihapuskan.

Beliau berkata, cadangan itu sebenarnya bertujuan untuk menyelamatkan institusi raja berperlembagaan daripada tercemar.

"Saya bukan cabar Sultan atau derhaka atau bertindak derhaka atau bertindak biadab kepada Sultan.

"Saya minta supaya mengkaji semula enakmen kuasa eksekutif Mais dan melakukan pindaan sekiranya perlu.

"Saya minta maaf dan mohon ampun sekiranya tulisan, kenyataan saya beri sedemikian rupa. Tiada niat walaupun sebesar zarah sekalipun, apatah lagi mencabar Sultan. Saya percaya, ini adalah salah faham," katanya pada sidang media khas di pejabatnya di sini, Shah Alam.

Sultan Sharafuddin pada Selasa melahirkan kemurkaan baginda terhadap Khalid yang sebelum ini mendesak supaya Mais tidak lagi diberi kuasa dalam menjaga kedaulatan agama Islam di negeri itu.

Menyifatkan wakil rakyat PAS itu sebagai biadap, baginda bertitah supaya Khalid yang bukan berasal dari Selangor supaya memahami sejarah negeri dan mendalami undang-undang yang terpakai di Selangor terutama Undang-undang Tubuh Kerajaan dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor.

Khalid berkata, cadangan yang dikemukakan itu bukan mencabar kuasa Sultan sebagai ketua agama Islam di Selangor atau Mais sebagai penasihat kepada Sultan dalam menjalankan tugas baginda.

Jelasnya, kedudukan baginda dan Mais tetap tidak berubah sebagai pihak berkuasa atas agama Islam apabila bertindak sebagai penggubal dasar dalam semua urusan berhubung agama Islam di Selangor.

"Perubahan yang dicadangkan hanya dari sudut pelaksanaan di mana dasar yang ditentukan baginda melalui Mais diserahkan kepada Kerajaan Negeri di bawah portfolio exco agama untuk dilaksanakan," katanya.

Menurut Khalid, isu menerusi tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di bawah Mais mencetuskan kritikan pelbagai pihak seperti rampasan naskhah Bible versi bahasa Melayu, pegawai Jais tersalah membuat tangkapan atas tuduhan khalwat ketika sedang berurusan pindah rumah dan serbuan di majlis perkahwinan di kuil Hindu, baru-baru ini.

Tambahnya, kritikan itu bukan sahaja melibatkan Jais di bawah Mais tetapi  memberi kesan kepada Sultan sebagai ketua agama Islam negeri.

"Cadangan yang saya kemukakan bertujuan untuk menyelamatkan Tuanku dari cemuhan, yang terbuka atau tertutup dan sekiranya cadangan ini tidak diterima sekalipun, lebih-lebih lagi oleh Sultan, maka ia hanya cadangan yang berniat baik terhadap peribadi Sultan sendiri," katanya.

Khalid sekali lagi menegaskan bahawa kemurkaan Sultan Selangor terhadap beliau berpunca daripada salah faham dan maklumat.

Beliau berharap agar Sultan Selangor akan memperkenan memberikan kebenaran untuk beliau menghadap bagi memperjelaskan keadaan.

"Saya sudah tulis (surat) kepada pejabat Sultan dan telah dihantar petang semalam untuk memperjelaskan lebih lanjut lagi. Tunggulah respons daripada Sultan untuk perkenan bagi saya menghadap," katanya.

Kemurkaan Sultan Selangor itu dizahirkan berikutan kenyataan Khalid pada sidang media di Parlimen, 17 Jun lalu yang mencadangkan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat supaya melakukan pindaan terhadap enakmen yang memberi kuasa eksekutif kepada Mais.


Khalid Samad, PAS, Sultan Selangor

Artikel Lain