suria

Hishammuddin Puji, Hargai Sumbangan Anggota Malbatt

Hishammuddin bergambar bersama sebahagian anggota MALBATT 850-1 ketika melakukan lawatan ke Kem Marakah, Ibu Pejabat Kontinjen MALBATT 850-1 di Selatan Lubnan di sini pada Selasa. Turut sama Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (kanan) dan Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Ilango Karupanan (kiri).
MARAKAH (Lubnan): Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein melahirkan penghargaaan di atas keberanian dan pengorbanan anggota Batalion Malaysia (Malbatt) 850-1 dengan berkata, mereka sedang menyumbang kepada usaha keamanan di dunia yang semakin dipenuhi rasa benci, keganasan dan tekanan.


Menteri Pertahanan itu berkata, peranan mereka dalam misi pengaman di selatan Lubnan di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil) mendapat makum balas cemerlang daripada pihak-pihak berkenaan.

Beliau berkata, keadilan, kejujuran, disiplin dan profesionalisme dilihat sebagai sumbangan yang memihak kepada pasukan pengaman Malaysia selain kebolehan mereka untuk berinteraksi dengan masyarakat setempat secara berperikemanusiaan.

"Hanya Tuhan yang mengetahui betapa bangganya saya dengan anda semua," katanya pada majlis berbuka puasa yang diadakan sempena lawatan beliau ke Kem Marakah yang turut menjadi ibu pejabat Malbatt 850-1, di sini pada Selasa.



Beliau melahirkan sentimen yang sama dalam sidang akhbar terdahulu bersama media Malaysia yang membuat liputan lawatan beliau ke selatan Lubnan.

Hishammuddin berkata, cabaran yang beliau hadapi dalam pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 tidak boleh dibandingkan dengan apa yang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terpaksa lalui di Lubnan.

"Apa yang dialami di sini ialah kehidupan, darah dan keringat anda. Saya diberitahu tentang cerita-cerita memberangsangkan yang tidak boleh dinilai dengan kebendaan," katanya.

Dalam lawatan itu, Hishammuddin turut mengunjungi dua kemudahan di bawah Malbatt 850-1 iaitu kem Tibnin dan Shamrock.

Beliau menyampaikan kuih raya kepada anggota Malbatt 850-1, menunaikan solat tarawih bersama mereka dan turut mengacau dodol dan membakar lemang.

Hishammuddin juga merasmikan Tugu 1Malaysia di perkarangan Kem Marakah.

Penglibatan ATM dengan Unifil bermula 2007 berikutan konflik 34 hari antara pejuang Hezbollah dan tentera Israel antara Julai dan Ogos 2006.

Konflik itu berakhir dengan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB yang antara lain meluluskan badan dunia itu menghantar pasukan pengaman.


Menteri Pertahanan, Malbatt

Artikel Lain