suria

Ahli Judi Profesional Ditahan Di Las Vegas

Phua antara suspek rakyat Malaysia yang ditahan kerana terbabit aktiviti perjudian haram Piala Dunia 2014.
LAS VEGAS: Empat rakyat Malaysia antara lapan orang yang ditangkap di sini berhubung rangkaian aktiviti perjudian haram membabitkan pertaruhan berjuta-juta dolar dalam perlawanan Piala Dunia.

Keempat-empat mereka ditahan bersama-sama dengan empat yang lain dari Hong Kong dan China kerana didakwa melakukan beroperasi rangkaian perjudian haram, lapor South China Morning Post.

Phua Wei Seng, 50, bekas pengendali perjudian kelas atas (junket) di Sands Casino Macau, dituduh bersama yang lain menjalankan satu skim yang menjalankan pertaruhan melalui Wi-fi dan talian DSL dengan meminta pekerja kasino memasangnya di suite mereka di Caesars Palace di sini.

Rakyat Malaysia lain ditahan adalah anak kepada Phua Darren Wai Kit, 22, Yong Seng Chen, 56, dan Yong Wai Kin, 22.

Suspek bukan rakyat Malaysia adalah Tang Hui, 44, dari China dan Zhang Yan, 40, Yung Keung Fan, 46, serta Herman Chun Sang-Yeung, 36, semuanya Hong Kong.

Semasa pendakwaan, seorang hakim persekutuan membenarkan Phua dan anaknya untuk tinggal dengan seorang doktor dan peminat poker di Las Vegas sementara menunggu pendengaran awal yang dijadualkan pada 4 Ogos. Tiada suspek mengemukakan rayuan dalam pendengaran itu.

Phua, yang juga dikenali sebagai Paul Phua dalam sirkit permainan poker profesional, mengambil bahagian dalam kejohanan Big One For One Drop dalam Siri Poker Dunia 2012.

Baru-baru ini, dia menduduki tempat keenam dalam European Poker Tour Grand Final Monte Carlo ‚100k Super High Roller 2014.

Sementara menunggu pendengaran, Phua perlu membayar ikat jamin AS$2juta (RM6.37juta), dan dikenakan syarat-syarat lain seperti memakai alat pemantauan GPS, dan meletakkan jet peribadi Gulfstream yang bernilai AS$ 48juta (RM152.95juta) sebagai cagaran.

Peguam Phua, David Chesnoff, berhujah di mahkamah bahawa anak guamnya telah memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa sejak serbuan pada 9 Julai, walaupun mempunyai cara-cara tertentu untuk meninggalkan negara ini. 

"Dia mempunyai akses kepada pesawat yang boleh terbang di mana sahaja di dunia," kata Chesnoff mengenai Phua, yang mempunyai aset dengan nilai anggaran sebanyak AS $400juta (RM1.28 bilion).

"Tetapi hakikatnya dia tetap tinggal di sini."

FBI dan ejen Lembaga Kawalan Permainan Nevada membuat tangkapan pada Ahad selepas serbuan di tiga buah suites di Caesars Palace berikutan maklumat jenayah.

Semasa di sana, ejen melaporkan penemuan sebuah komputer riba yang mempunyai data pertaruhan haram dan rekod-rekod lain.

Peguam AS Daniel Bogden berkata operasi di Las Vegas bermula sejurus selepas Phua meninggalkan Macau, di mana dia telah ditangkap pada 18 Jun tetapi telah diberikan jaminan terhadap pertuduhan menjalankan rangkaian perjudian haram yang juga menyasarkan taruhan pada Piala Dunia.

Bogden mendakwa Phua merupakan ahli berpangkat tinggi daripada ahli kongsi gelap 14k yang berpangkalan di Hong Kong, sebuah organisasi global yang  berurusan dalam pengedaran dadah, perjudian haram, pelacuran dan pinjaman wang haram.

Bogden berkata jika sabit kesalahan, setiap defendan boleh dijatuhkan sehingga dua tahun penjara persekutuan kerana menyalahi undang-undang dan sehingga lima tahun penjara bagi pertuduhan perniagaan perjudian haram, dan juga denda bagi setiap pertuduhan sehingga AS$250,000 (RM800,000).

Artikel Lain