suria

Wanita Dipenjara Tujuh Bulan Curi Telefon Bimbit, Gagal Tunjuk MyKad

KUALA LUMPUR: Seorang wanita pada Isnin dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan selepas mengaku bersalah mencuri telefon bimbit milik pelancong warga Afrika dan gagal menunjukkan kad pengenalan, minggu lepas.

Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap Samsiah Md Isa, 30, bagi kesalahan mencuri dan penjara sebulan bagi kesalahan gagal menunjukkan kad pengenalan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu dijalankan secara berasingan bermula tarikh dia ditangkap 4 Julai lepas.

Tertuduh yang tidak bekerja didakwa mencuri telefon bimbit milik Mohamed Sorie Kargbo di Jalan Tun H.S. Lee di sini pada 4 pagi, 4 Julai lepas mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pertuduhan gagal menunjukkan kad pengenalan dibuat mengikut Peraturan 25 (1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga RM20,000.

Mengikut fakta kes, Samsiah ditangkap sendiri oleh pengadu sebelum diserahkan kepada anggota polis dan pemeriksaan yang dilakukan menemukan telefon bimbit di dalam poket seluar tertuduh.

Di mahkamah sama, seorang pemandu teksi mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mencederakan isterinya menggunakan serpihan kaca bulan lepas.

Abdul Aziz Isa, 58, didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap Kustina Aziz, 49, di sebuah unit di Flat Sri Kelantan, Jalan Sentul Pasar, di sini pada 6.45 petang, 27 Jun lepas.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Majistret Ashraf Rezal menetapkan 16 Julai untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ooi Chean Ling.
curi, telefon bimbit

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain