suria

Remaja OKU Dibenar Keluar Hospital Jumaat Ini - Rohani

Muhammad Firdaus Dullah.
PUTRAJAYA: Remaja orang kurang upaya, Muhammad Firdaus Dullah, 15, yang dijumpai dalam keadaan terabai di Flat Taman Semarak, Nilai, 21 Jun lepas dibenarkan keluar Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) Jumaat ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata remaja itu akan ditempatkan di Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah, Seremban, Negeri Sembilan melalui perintah sementara daripada mahkamah.

"Alhamdulilah tahun ini adik Muhammad Firdaus boleh berhari raya dengan kami selain kami sedang mengesan warisnya yang lain supaya mereka boleh melawat beliau," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Sebelum itu, beliau mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M.Saravanan di pejabatnya di sini.

Rohani berkata berat Muhammad Firdaus juga kini telah bertambah kepada 17.3 kg berbanding 14 kg ketika ditemui dikurung di sebuah rumah pangsa oleh Pengarah Imigresen Negeri Sembilan Faizal Fazri Othman dalam operasi bersepadu di rumah berkenaan.

Mengulas kejadian seorang remaja yang maut dibelasah bapanya di Melaka, Rohani berkata pihaknya telah memberikan perkhidmatan kaunseling kepada ibu mangsa untuk berhadapan dengan kejadian tersebut.

"Kita telah memberikan sedikit bantuan iaitu sebanyak RM300 kepada keluarga tersebut dan akan menimbangkan untuk memberi bantuan berterusan kepada mereka," katanya.

Dalam kejadian 5 petang Sabtu lepas, mangsa Muhamad Hafiz Abd Ghani, 17 dilaporkan bertengkar dengan bapanya yang berusia 52 tahun di rumah mereka di Kampung Jawa Alor Gajah selepas Muhamad Hafiz menyatakan hasrat untuk bekerja kepada ayahnya namun tidak dipersetujui.

Ayah mangsa bertindak ganas dengan mengambil sebatang kayu lalu memukul anak sulung daripada 10 beradik itu bertubi-tubi sehingga Muhamad Hafiz rebah sebelum ibu mangsa, Siti Habibah Ismail menyedari kematian anaknya kira-kira 4 pagi Ahad.

OKU, Muhammad Firdaus Dullah

Artikel Lain