suria

VCD, DVD Cetak Rompak Bernilai RM69,955 Dirampas

Gambar hiasan.
BUTTERWORTH: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Pulau Pinang menyerbu dua premis di Raja Uda di sini serta merampas 13,591 keping video cakera padat (VCD) dan video cakera digital (DVD) cetak rompak bernilai RM69,955.

Ketua Bahagian Penguatkuasa PPDNKK Pulau Pinang Abdul Rosik Yaacob berkata bertindak hasil maklumat awam dan risikan, pihaknya menyerbu kedua-dua premis secara serentak pada 5.30 petang dan menahan dua lelaki.

"Pemeriksaan lanjut di dua premis yang terletak tidak jauh antara satu sama lain itu, kita menemui pelbagai VCD dan DVD cetak rompak yang dipercayai untuk dijual.

"Dua lelaki berusia 20 dan 30 tahun itu mengaku bekerja di premis berkenaan dan mendakwa tidak mengetahui kedai mereka menjual DVD dan VCD cetak rompak," katanya kepada pemberita selepas serbuan itu di sini malam Khamis.

Beliau berkata pemilik premis atau individu yang ditahan menjual bahan haram itu disiasat mengikut Akta Hakcipta 1987, Akta Perihal Dagangan 2011 (Label Cakera Optik), Akta Penapisan Filem 2002 dan Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 2013.

Abdul Rosik juga berkata bagi kesalahan di bawah Akta Hakcipta 1987, pesalah berdepan denda minimum RM2,000 dan maksimum RM20,000 bagi setiap pelanggaran atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Kesalahan Perintah Perihal Dagangan (Label Cakera Optik) 2010 pula boleh didenda sehingga RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali, katanya.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan mengenai kegiatan cetak rompak boleh membuat laporan dengan menghubungi talian hotline 1-800-886-800," katanya.

vcd, dvd, cetak rompak, serbuan

Artikel Lain