suria

Tahanan Mati Dalam Lokap: Saringan Kesihatan Perlu Segera Dikuatkuasa

PETALING JAYA: Saringan pemeriksaan kesihatan terhadap tahanan perlu mendapat pertimbangan serius untuk segera dikuatkuasakan kerana 90 peratus kematian di lokap polis berpunca daripada masalah itu.

Selain itu, anggota polis juga perlu diberi vaksin bagi mengelak daripada terkena jangkitan penyakit ketika menjalankan tugas menyoal siasat tahanan.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam), James Nayagam berkata, sudah tiba masanya Kementerian Kesihatan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bekerjasama untuk menguatkuasa langkah itu.

"Saringan pemeriksaan kesihatan wajar dilaksanakan ke atas tahanan supaya anggota polis bersiap sedia dengan ubat atau bantuan pernafasan kecemasan (CPR) jika berlaku sesuatu diluar jangkaan.

"Selain itu, suntikan vaksin kepada anggota polis pula perlu bagi mengelak dijangkiti penyakit seperti hepatitis A, B dan batuk kering yang dibawa tahanan terutama ketika proses soal siasat," katanya kepada mStar Online.

Pada Khamis, portal berita ini melaporkan pemantauan Suhakam mendapati 90 peratus daripada 243 kematian tahanan dalam lokap polis sejak 2000 membabitkan masalah kesihatan.

Sehubungan itu, James juga menyarankan supaya bahan sanitasi untuk menghapus bakteria dan sarung tangan dibekalkan di setiap lokap polis bagi mengelakkan anggota pasukan itu dijangkiti kuman  penyakit berjangkit bawaan tahanan.

"Kita juga berharap anggota polis diberikan insurans individu bagi melindungi mereka daripada penyakit berjangkit atau kemalangan ketika bertugas," katanya.

Selain penyakit, lawatan ke 43 lokap di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah mendapati masalah utama ialah aspek pengaliran udara dan kebersihan yang tidak memuaskan.

"Ada lokap yang sempit, sistem udara tidak bagus dan kotor. Oleh itu, ada keperluan untuk memasang kipas dan kamera litar tertutup (CCTV) yang lebih banyak, terutama lokap lama," katanya.

Beliau berkata, suasana lebih selesa perlu kerana anggota polis terpaksa berhadapan dengan situasi sama setiap hari.

"Sudah tiba masanya kerajaan memberi perhatian dengan membina lebih banyak lokap berpusat, kerana pemerhatian kami mendapati empat lokap berpusat seperti di Jinjang, Indera Mahkota, Bayan Baru dan Shah Alam mempunyai kemudahan yang sistematik," katanya.

Setakat ini, usaha mStar Online untuk menghubungi KDN bagi mendapatkan komen mengenai cadangan yang dikemukakan Suhakam ini belum berhasil.

lokap polis, Suhakam, KDN, vaksin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain