suria

Kerajaan Selangor Sambut Baik Keputusan Tiada Pendakwaan Kes Rampasan Bible Oleh Jais

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menyambut baik kenyataan Jabatan Peguam Negara pada Rabu yang memutuskan tiada pendakwaan berhubung kes rampasan Bible oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais). 

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan pada Khamis berkata pihaknya juga telah meminta exco kerajaan negeri berkaitan dan penasihat undang-undang negeri membantu Jais memulangkan semua kitab terbabit kepada Persatuan Bible Malaysia (PSM).

Jelas beliau, kerajaan negeri dinasihatkan oleh Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri Selangor untuk mengambil langkah perlu mengikut perundangan dalam mengendali barang kes yang telah diambil oleh Jais daripada PSM. 

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya juga telah menyarankan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa Salehen Mukhyi dan Jais mengadakan perbincangan lebih lanjut dengan pihak terlibat khususnya PSM.

"Perbincangan lanjut itu bertujuan bagi menyelesaikan perselisihan pendapat secara baik dan adil demi keharmonian beragama yang dituntut dalam Islam dan agama-agama lain," katanya.

Abdul Khalid turut berterima kasih kepada Pejabat Peguam Negara atas nasihat berhubung isu berkenaan dan PSM kerana memberikan kerjasama yang baik kepada Jais sepanjang siasatan dijalankan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain