suria

Tujuh Waris Penumpang MH370 Terima Pampasan Awal AS$50,000

PUTRAJAYA: Tujuh waris penumpang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH370 menerima bayaran pendahuluan pampasan sebanyak AS$50,000 seorang melalui insurans syarikat penerbangan.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin berkata, waris itu membabitkan enam dari Malaysia dan seorang dari China.


"Sebelum membuat pembayaran, kami perlu mengesahkan kesahihan waris mengikut undang-undang. Kami harus memastikan mereka adalah waris yang sah. Ia mengambil masa.

"Mengenai pembayaran akhir, kami harus menunggu sehingga isu MH370 selesai. Sama ada pesawat dijumpai atau kami mengumumkan bahawa pesawat hilang, kami akan membuat pengumuman," kata beliau pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Waris penumpang MH370 di sini, Khamis.

Beliau berkata, 40 lagi tuntutan waris penumpang dari China masih dalam proses sementara menunggi pengesahan daripada kerajaan China sementara waris dari negara lain telah melantik peguam sebelum jawatankuasa menanganinya.

Pada 8 Mac, pesawat Boeing 777-200ER yang membawa 239 penumpang termasuk 12 anak kapal dan 153 warga China hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam.

Pada 24 Mac, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa Penerbangan MH370 dipercayai telah berakhir di selatan Lautan Hindi.

Mengenai Voice 370, kumpulan yang mendakwa mewakili keluarga mereka yang menaiki penerbangan MH370, yang mendesak untuk menemui Najib, Hamzah meminta kumpulan itu mengamalkan sikap 'telus', mendedahkan dan menyatakan identiti diri mereka.

"Saya ada terima e-mel mereka tanpa sebarang tandatangan… Saya minta penghantar e-mel menjelaskan siapakah beliau. Berapa ramaikah waris yang diwakili mereka," katanya.

Sebagai pengerusi jawatankuasa waris, Hamzah berkata, beliau bersedia mewakili perdana menteri dan Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein untuk menemui Voice 370.

Beliau berkata, jawatankuasa itu telah menemui anggota keluarga secara individu sama ada melalui MAS atau jawatankuasa teknikal.

Bagi ahli keluarga penumpang warga China di Beijing, beliau berkata, Datin Paduka Chew Mei Fun dilantik untuk menemui mereka sementara duta-duta dari Malaysia juga menemui keluarga penumpang dari negara lain.

"Kami telah melibatkan diri secara aktif dengan ahli keluarga dari China. Hampir setiap hari, kami menerima hampir 20 panggilan dan kadang-kadang ahli keluarga datang secara sendirian untuk menemui kami dengan purata 30 ahli keluarga setiap hari.

"Setakat ini, kami telah melibatkan diri dengan hampir semua ahli keluarga dari China...Saya tidak faham mengapa Voice 370 mahu menemui perdana menteri," kata beliau.

Beliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah mengadakan 43 sesi pertemuan dengan waris penumpang di Malaysia.

MAS, MH370, pampasan

Artikel Berikut

Artikel Lain