suria

Langat 2: Kerajaan Pusat dan Selangor Tubuh 2 Jawatankuasa

Projek Langat 2 untuk memastikan bekalan air tidak terjejas di Selangor.
KUALA LUMPUR: Kerajaan persekutuan, melalui Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), bersama-sama Kerajaan negeri Selangor, akan menubuhkan dua jawatankuasa bagi melicinkan projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2).

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, satu jawatankuasa adalah untuk menyelia dan memantau isu-isu berkaitan permit tanah, manakala satu lagi adalah untuk membincangkan aspek-aspek berkaitan bekalan air mentah dari Pahang.

"Jawatankuasa teknikal pertama mewakili semua pihak kerajaan negeri Selangor dan kementerian untuk membincang, meneliti dan mengemaskini semua keperluan permit yang berkaitan dalam pembangunan Langat 2 termasuk soal tanah, paip dan penghantaran.

"Satu lagi jawatankuasa oleh pihak kementerian adalah untuk membincangkan tentang bekalan air mentah Pahang dari segi infratruktur sedia ada dan terma perjanjian untuk membolehkan semua urusan berjalan dengan tepat dan masa yang cepat," kata Ongkili selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihan (JKKP Projek LRAL 2) siri pertama, bersama-sama dengan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di bangunan Parlimen, di sini, Khamis.

Ongkili berkata, objektif utama penubuhan dua jawatankuasa ini adalah bagi memastikan bekalan air bersih terawat dapat disediakan dalam tempoh 36 bulan akan datang.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri Selangor berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di atas komitmen yang ditunjukkan dalam memastikan penyusunan semula industri air negeri berjalan lancar, di samping menentukan projek Langat 2 dapat dilaksanakan dengan cepat dan tertib.

"Saya rasa (keputusan) untuk mengadakan jawatankuasa ini yang disertai kementerian dan kerajaan negeri Selangor akan memberikan erti yang sangat besar kepada, bagaimana pembangunan negara ini boleh dilakukan secara kerjasama yang profesional antara dua kerajaan yang menentukan bahawa kepentingan rakyat dalam perkhidmatan pengagihan air ini dapat diurus dan dilaksanakan dengan cekap untuk kebaikan rakyat.

"Banyak lagi kerja yang perlu dilakukan tapi setakat ini kita telah menunjukkan bahawa kesediaan kedua-dua pihak untuk mencari jalan terbaik untuk penyelesaian," katanya.

Sementara itu, menurut satu kenyataan bersama yang diedarkan kemudian, mesyuarat siri pertama jawatankuasa pemandu itu telah membincangkan beberapa agenda berkaitan, antaranya status terkini pelaksanaan Projek LRAL2.

"Mesyuarat telah membincangkan isu dan masalah tanah dan permit yang berkaitan dengan pelaksanaan projek LRAL2 yang perlu diluluskan oleh Pihak-pihak Berkuasa Negeri Selangor.

"Turut dibincangkan ialah cadangan penyaluran air mentah berjumlah sehingga 500 Juta Liter Sehari (JLH) dari Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang Ke Selangor (PPAMPS) ke Sungai Langat sebagai persiapan untuk menghadapi musim kering yang dijangka akan datang," menurut kenyataan itu.


Artikel Lain