suria

Lebih 100 Kubur Dikorek Ada Kaitan Ajaran Sesat, Pemujaan

Kejadian kubur dikorek menggemparkan penduduk Kampung Jawi-Jawi. Gambar Hiasan.
BENTONG: Lebih 100 kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jawi-Jawi, Pelangai di sini dikorek pihak tidak bertanggungjawab yang dipercayai ada kaitan dengan aktiviti pemujaan atau ajaran sesat.

Kejadian itu menggemparkan penduduk kampung berkenaan yang hanya menyedarinya lewat petang Isnin dan melaporkannya kepada polis.

Seorang penduduk, Radin Noraddin, 48, berkata, kejadian itu dipercayai berlaku empat hari lalu dan laporan polis dibuat pagi Selasa.

"Tanah yang dikorek itu di tengah-tengah kedudukan antara dua batu nisan, iaitu kira-kira satu genggam setiap kubur.

"Saya tidak pasti apa motif mereka datang ke sini dan buat macam itu. Tetapi saya terkilan apabila batu nisan dan kepok turut dicabut," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Radin berkata, perkara seumpama itu tidak sepatutnya berlaku di kawasan perkuburan Islam dan berharap pihak berwajib dapat menjalankan siasatan dan membina pagar bagi mengelak kejadian sama berulang.

"Kejadian itu dipercayai dilakukan oleh beberapa individu pada waktu tertentu dan dipercayai mereka melakukan aktiviti berkenaan menggunakan cangkul dan spanar," katanya.

Abdul Khalil Abdul Talib, 53, berkata, kubur arwah ibunya adalah yang paling teruk dan digali sehingga sedalam satu kaki dan kepok pula dicabut.

Katanya, ini kejadian kedua menimpa kubur arwah ibunya dan kejadian pertama pada tahun lalu.

"Sebelum ini pernah berlaku tetapi tidak seteruk sekarang. Tetapi sebelum ini, hanya satu kubur sahaja," katanya.

Difahamkan, Tanah Perkuburan Kampung Jawi-jawi merupakan kubur kedua tertua di Pelangai dan pusara paling lama mencatatkan tarikh kematian pada 1925.

Artikel Lain