suria

Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau Nafi Keluar SPDP

Anyi Ngau.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Baram, Anyi Ngau menafikan beliau keluar dari Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) bagi menyertai Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) yang baharu ditubuhkan.

Anyi berkata, beliau tidak mempunyai niat langsung untuk menyertai parti-parti lain dan menegaskan bahwa beliau masih lagi anggota SPDP.

"Saya ingin memperjelaskan tentang kedudukan saya sebagai Ahli Parlimen Baram. Terdapat khabar angin yang mengatakan saya telah meninggalkan parti.

"Sebenarnya, saya masih lagi anggota SPDP dan wakil parlimen Barisan Nasional (BN)," katanya kepada para pemberita di lobi Parlimen pada Isnin.

Beliau turut menyatakan sokongannya terhadap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dan pemangku Presiden SPDP, Datuk Seri Tiong King Sing. 

Dilaporkan bahawa Anyi bersama-sama dengan bekas presiden SPDP, Tan Sri William Mawan, keluar dari SPDP untuk menyertai Teras.

Teras merupakan salah satu daripada lima parti Sarawak yang diluluskan pendaftarannya pada hujung tahun lepas.

Mawan dikatakan menghadapi pemberontakan dalam SPDP yang diketuai oleh Tiong.

Mereka yang lain meninggalkan SPDP adalah Ahli Dewan Undangan Negeri, Datuk Peter Nansian (Tasik Biru), Datuk Sylvester Entri (Marudi), Paulus Palu Ngumbang (Batu Danau) dan Rosey Yunus (Bekenu).

Ditanya kenapa beliau bersama Mawan semasa pengumuman beramai-ramai untuk meninggalkan parti itu, Anyi berkata, ia merupakan "secara kebetulan" dan mengakui bahawa beliau masih mentah dalam politik.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain