suria

Budak Lima Tahun Maut Kemalangan

NIBONG TEBAL: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut selepas motosikal yang dinaiki bersama abang dan kakaknya terlibat dalam kemalangan apabila merempuh belakang sebuah pacuan empat roda di Jalan Pekan Sungai Acheh, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafien Mamat berkata dalam kejadian 11 pagi itu, mangsa Muhammad Aniq Mohd Norazli, duduk dalam bakul motosikal yang ditunggang abangnya, Nur Rahimi, 15, manakala kakaknya, Nuramalina, 19, membonceng di belakang.

"Kemalangan itu berlaku apabila motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang remaja lelaki itu melanggar belakang Toyota Hilux yang berada di tepi jalan.

"Berikutan kemalangan itu, kanak-kanak yang bersekolah di Tabika Kemas Batu 2, Parit Kasar itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah manakala kakak dan abangnya hanya mengalami kecederaan ringan," katanya ketika dihubungi di sini.

Shafien berkata tiga beradik berkenaan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Parit Kasar selepas tamat kelas kompang yang diadakan di Dewan Perda Sungai Acheh iaitu tidak jauh dari tempat kejadian.

Katanya mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk dibedah siasat manakala kakak dan abangnya turut dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata remaja yang menunggang motosikal itu masih bersekolah dan tidak memiliki lesen serta mereka bertiga tidak memakai topi keledar.


Seberang Perai

Artikel Lain