suria

Mosti Kaji Pengecualian Bayaran Royalti Pengeluar

Abu Bakar Mohamad Diah

MELAKA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) akan mengkaji pendekatan pengecualian sementara bayaran royalti pihak pengeluar kepada penyelidik atau pencipta bagi mempertingkat pengkomersialan produk inovasi di negara ini.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata bayaran royalti mungkin dikecualikan antara tempoh tiga hingga empat tahun sehingga produk terbabit mampu menembusi pasaran tempatan dan luar negara.

"Inisiatif ini bagaimanapun perlu dibincangkan dengan teliti dengan pihak penyelidik dan pengeluar bagi memberikan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan taklimat produk inovasi kesihatan di sini, Isnin.

Beliau juga berkata pengkomersialan produk inovasi di Malaysia masih di tahap rendah disebabkan persepsi negatif masyarakat terhadap hasil penyelidik tempatan.

Katanya, masyarakat dilihat bersikap ragu-ragu untuk menerima dan menggunakan produk yang dikeluarkan dalam negara.

"Mereka lebih yakin terhadap produk inovasi dari negara luar seperti China dan sikap ini perlu diubah dengan memberi ruang produk tempatan diguna pakai," katanya.

Sementara itu, Abu Bakar berkata setakat ini, Mosti meluluskan peruntukan sebanyak RM75 juta bagi tujuan pengkomersialan produk inovasi negara.

Beliau berkata angka itu hanya 30 peratus daripada dana pengkomersialan berjumlah RM250 juta yang disediakan bagi tahun ini.

Katanya, ia berikutan syarat dan prosedur ketat dalam pemberian peruntukan termasuk produk yang dihasilkan perlu dipaten penyelidik serta berupaya memasuki pasaran tempatan.

"Sebelum dana ini diluluskan, Mosti melalui konsultan yang dilantik, akan mengkaji terlebih dahulu nilai pasaran produk berkenaan sama ada ia diterima pengguna atau tidak," katanya.


Mosti

Artikel Sebelum

Artikel Lain