suria

Suspek Bunuh Soffea Tidak Kenal Keluarga Mangsa - Polis

KUALA LUMPUR: Polis menafikan suspek kes bunuh kanak-kanak berusia enam tahun  Siti Soffea Emelda mempunyai kaitan dengan keluaga mangsa.

"Suspek yang baru dibebaskan dari Penjara Kajang empat hari sebelum kejadian tidak mengenali bapa mangsa yang kini berada di Penjara Bentong.

"Malah ibu mangsa, Siti Salmy Shuib juga tidak mengenali suspek," jelas Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad pada sidang media, Jumaat.

Beliau memberitahu, laporan yang mendakwa suspek dan bapa mangsa atau ibu mangsa saling mengenali adalah tidak benar.

"Kita sudah jelaskan kepada media agar membuat laporan yang betul kepada orang ramai. Malah kami masih lagi menyiasat motif pembunuhan kanak-kanak tersebut," tambahnya.

Beliau juga menafikan bahawa ibu mangsa ditahan polis untuk siasatan ketika ini.

"Itu juga tidak benar. Kami tidak menahan ibu mangsa," katanya.

Lelaki yang didakwa membunuh Soffea ditemui mati dalam keadaan terapung di Sungai Klang berhampiran plaza tol Sunway pada Sabtu lepas.

Kanak-kanak malang itu dipercayai dibunuh kejam dengan kepalanya terputus dipercayai akibat dikelar di tepi Sungai Klang berhampiran stesen komuter di Jalan Hishamuddin di sini pada Khamis lepas.

Saksi mendakwa melihat seorang lelaki merebahkan kanak-kanak itu di tepi sungai sebelum menghempaskan sesuatu ke kepalanya dan melakukan 'sesuatu' pada leher mangsa.

Dang Wangi, Soffea

Artikel Lain