suria

81 Kem PLKN Diarah Naik Taraf Prasarana

SUNGAI SIPUT: Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata kesemua 81 kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di seluruh negara diarah menaik taraf prasarana kem bersesuaian dengan garis panduan dalam jadual pematuhan 2014.

Beliau berkata para pengusaha kem diberi tempoh sehingga pertengahan 2015 ini untuk melakukan kerja menaik taraf prasarana di kem masing-masing.

"Kerja menaik taraf perlu mendapat kelulusan Kementerian Pertahanan untuk memastikan susun atur teknikal mengikut syarat yang telah ditetapkan," katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan di PLKN Kem Terkok, Kampung Sungai Durian di sini, Jumaat.

Beliau berkata kos menaik taraf prasarana kem akan ditanggung sepenuhnya oleh penguasaha kem berkenaan.

Abdul Hadi berkata pengusaha yang gagal melakukan proses menaik taraf mengikut tempoh yang ditetapkan bakal berdepan tindakan pembatalan kontrak.

Sementara itu, beliau berkata empat kem yang akan dirobohkan sepenuhnya kerana tidak mematuhi garis panduan ialah kem di Ayer Keroh, Melaka, Kedah serta kem di Raub dan Rompin, di Pahang.

Katanya ini kerana empat kem itu menggunakan konsep chalet sebagai kem dengan setiap dorm hanya boleh menempatkan lima atau enam pelatih.

"Mengikut garis panduan terbaharu setiap kem perlu menempatkan 25 hingga 30 pelatih di dalam sebuah dorm," katanya.


PLKN

Artikel Lain