suria

Ibu Pejabat Pengakap Dunia Dirasmi 18 Jun

KUALA TERENGGANU: Ibu pejabat Pertubuhan Pergerakan Pengakap Sedunia (WOSM) yang dipindahkan dari Geneva, Switzerland ke Kuala Lumpur kini sudah siap dan dijangka dirasmikan 18 Jun ini.

Sehubungan itu, Ketua Pengakap Negara Datuk Seri Dr Shafie Mohd Salleh menyeru semua pemimpin dan anggota pengakap di negara ini agar menggunakan peluang yang ada untuk menaikkan imej Malaysia di mata dunia.

"Oleh kerana ibu pejabat WOSM sudah berpindah dari Geneva ke Kuala Lumpur, maka sudah pasti akan banyaklah aktiviti pengakap di peringkat antarabangsa akan diadakan di Kem Tengku Muhammad Ismail ini.

"Pelbagai bengkel pengakap di peringkat dunia dan antarabangsa akan diadakan di sini kerana kem ini merupakan kem pengakap serba lengkap dan terbaik di Asia Tenggara," katanya.

Beliau berucap pada majlis penutup Jambori Pengakap Antarabangsa Terengganu 2014 di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Telaga Batin di sini pada Jumaat yang turut dihadiri oleh Pengerusi Majlis Pengakap Negeri Terengganu (MPNT) Datuk Abdullah Taib dan Ketua Pesuruhjaya MPNT Che Soh Muda.

Shafie turut berterima kasih atas penyerahan kem itu kepada MPNT yang diumum Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman semasa merasmikan jambori berkenaan.

"Harapan saya agar MPNT lebih aktif dan dapat mempelbagaikan program pengakap pada masa akan datang.

"Persekutuan Pengakap Malaysia juga akan menjadikan Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail ini sebagai salah satu destinasi pilihan untuk menjalankan program-program peringkat kebangsaan, Asia Pasifik dan peringkat antarabangsa," katanya kepada pemberita kemudian.

Sementara itu Abdullah berjanji akan memastikan kem itu diurus dengan sempurna oleh MPNT.

WOSM merupakan sebuah badan bebas bukan berasaskan keuntungan serta pertubuhan bukan partisan.

Pengakap

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain