suria

Amaran KPDNKK: Jangan Bekal Barang Kepada Pemborong Haram

Gambar Hiasan
PETALING JAYA: Pengilang tepung gandum dan minyak masak diberi amaran supaya tidak membekalkan barangan kepada pemborong haram hingga menjejas bekalan barang keperluan di pasaran tempatan.

Amaran itu dikeluarkan kerana pemeriksaan awal tidak menolak kemungkinan berlakunya penyelewengan di kalangan pengilang produk terbabit.

Berikutan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) meningkatkan pemantauan untuk memastikan pihak yang dikesan bertindak sedemikian dikenakan tindakan tanpa sebarang kompromi.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, pemantauan terhadap pengilang tepung gandum dan minyak masak mula dipergiatkan terutama sepanjang Ramadan dan Aidilfitri nanti.

Menurutnya, kementerian sentiasa membuat pemeriksaan rekod bekalan pengilang kepada pemborong sebelum ia dijual kepada peniaga dari semasa ke semasa.

“Kita hendak lihat sekiranya terdapat rekod yang mencurigakan apabila mereka menjualnya kepada pemborong yang tidak berlesen.

“Sekiranya didapati berlakunya penyelewengan, kita akan ambil tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.

KPDNKK sedang mempertimbangkan untuk meluluskan tambahan kuota tujuh peratus bagi bekalan tepung gadum bermula bulan ini sehingga Ogos bagi mengatasi isu kekurangan bekalan sepanjang Ramadan dan Aidilfitri nanti.

Kementerian itu juga sedang berusaha mendapatkan persetujuan Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi bagi menambah 10 peratus lagi kuota bekalan minyak masak ke dalam pasaran bagi tempoh sama.

Mengenai tambahan kuota, Iskandar berkata, beliau tidak menolak kemungkinan berlakunya penyelewengan di kalangan pengilang akan mengambil kesempatan terhadap pengguna yang memerlukan barangan itu dalam tempoh berkenaan.

“Kita tidak menolak kemungkinan berlakunya penyelewengan dalam tempoh Ramadan dan Aidilfiti, terutama dengan tambahan kuota bekalan yang sedang dipertimbangkan oleh Kerajaan untuk diluluskan.

“Bagaimanapun, kita akan memantau dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada penyelewengan yang dilakukan oleh mereka (pengilang) dan bekalan mencukupi dan sentiasa berada di pasaran,” katanya.

Artikel Lain