suria

Kempen 'Turn Back Crime' Banteras Jenayah Global

Mortadza (kanan) beramah mesra bersama pegawai yang hadir pada Majlis Pelancaran Kempen Turn Back Crime di Bukit Aman, Khamis.

KUALA LUMPUR: Dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai jenayah global, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Agensi Polis Antarabangsa (Interpol) melancarkan Kempen Kesedaran Global Interpol 'Turn Back Crime'.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Mortadza Nazarene berkata, kempen itu merupakan inisiatif  Setiausaha Agung Interpol pada Persidangan Ketua Biro Pusat Nasional ke-10 di Lyon, Perancis, April lalu.

"Sebanyak 190 negara turut melancarkan kempen ini di negara masing-masing.

"Kempen ini menyediakan platform yang kukuh di mana polis boleh mengekang isu-isu jenayah utama dalam masa sama memberi kesedaran kepada orang ramai.

"Jenayah terancang memberi kesan kepada kita kerana  rangkaian jenayah global ini membabitkan barang harian, ubat-ubatan palsu, dadah atau senjata," katanya pada majlis pelancaran kempen itu di Bukit Aman, pada Khamis.

Mortadza berkata, objektif utama kempen ini adalah untuk mewujudkan kesedaran mengenai kegiatan jenayah dan pembabitan Interpol untuk membanterasnya.

Katanya, jenayah siber, jenayah penipuan terhadap kanak-kanak dan rasuah dalam sukan juga saling berkaitan dengan jenayah terancang.

"Rangkaian jenayah terancang mengeksploitasi teknologi dan sistem kewangan dan pengangkutan untuk kepentingan sendiri kerana undang-undang berbeza di setiap negara.

"Kerjasama antarabangsa ini perlu bagi mengurangkan jenayah global dengan berkesan, " katanya.

Tambah beliau, undang-undang Malaysia telah dikaji semula  dan langkah yang lebih ketat diguna untuk membenteras jenayah global.

"Perjanjian Ekstradisi telah ditandatangani dengan Amerika Syarikat , Thailand, Indonesia, Hong Kong dan Australia.

"Kami juga membuat operasi bersama dan pertukaran maklumat untuk membanteras kegiatan haram itu, " katanya.

Dalam pada itu, Mortadza berkata, menjelang kejohanan Piala Dunia nanti (12 Jun), bahagian Jenayah Siber dan Multimedia sedia membantu Bahagian Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian, Maksiat dalam membenteras sindiket judi haram ini.

Turn Back Crime, Interpol, PDRM

Artikel Lain