suria

Kanak-Kanak Terperangkap Dalam Kereta Tertimbus Tanah Runtuh

Kanak-kanak terperangkap dalam kereta ketika kejadian tanah runtuh. Foto: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia

MELAKA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun terperangkap hampir 30 minit dalam kereta selepas kereta itu tertimbus tanah runtuh dan tebing konkrit di Jalan C P1/21B di kawasan perumahan Taman Cheng Perdana malam tadi akibat hujan lebat.

Kejadian berlaku kira-kira 10.30 malam semasa Koh Sue Siang baharu selesai makan malam di sebuah kedai makan di kawasan perumahan itu bersama datuknya Tham Peng Yong, 59, neneknya Wong Yok Moy, 57, serta tiga adiknya.

"Koh bersama adiknya yang berusia tiga tahun baharu menaiki kereta, namun nenek mereka sempat menarik keluar adiknya sebaik konkrit jatuh dan menghempas kereta.

"Saya sempat menjerit kepada isteri saya untuk menarik keluar cucu kami dari kereta apabila melihat tebing konkrit yang mengelilingi kawasan sebuah rumah bergerak-gerak sebelum jatuh menghempap kereta," kata Tham kepada pemberita.

Koh dikeluarkan pihak bomba dan penyelamat dengan bantuan orang ramai dan hanya mengalami cedera ringan.Dia dikejarkan ke Hospital Melaka untuk mendapat rawatan. Kejadian tersebut menyebabkan dua lagi kereta mengalami kerosakan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Ahmad Adli Abd Rahman berkata pihaknya yang menerima panggilan pada pukul 10.34 malam menggegaskan dua jentera beserta 11 anggota.

Beliau berkata pihaknya mengambil masa kira-kira tujuh minit untuk mengeluarkan mangsa dengan menggunakan jengkaut.

Sebatang tiang elektrik turut tumbang, katanya.

Tanah runtuh, kanak-kanak

Artikel Lain