suria

Polis Tahan Lima Suspek Kes Tembak Ahli Perniagaan

KUANTAN: Kes tembak melibatkan seorang ahli perniagaan di Jalan Zabidin berhampiran Stesen Bas Mentakab di Temerloh pada malam Jumaat lepas dianggap selesai dengan tertangkapnya lima suspek termasuk dua wanita pagi Ahad.

Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata kesemua suspek berumur 22 hingga 48 tahun itu ditahan dalam tiga serbuan berasingan di Kuala Lumpur dan Temerloh.

Beliau berkata dalam serbuan pertama kira-kira jam 6 pagi semalam di sebuah rumah di Taman Melawati, polis menahan sepasang kekasih warga tempatan yang berumur 22 tahun (perempuan) dan 35 tahun (lelaki).

"Hasil soal siasat yang dilakukan, polis menyerbu sebuah lagi rumah di Wangsa Maju pada jam 9.45 pagi dan berjaya memberkas sepasang lagi kekasih warga Indonesia berusia 38 tahun (perempuan) dan 36 tahun (lelaki)," katanya kepada pemberita di sini malam Isnin.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam rumah tersebut, polis menemui sepucuk pistol jenis revolver .38, lima kelongsong peluru, 45 butir peluru serta pakaian yang dipakai semasa menembak mangsa terbabit.

"Siasatan awal mendapati suspek warga asing berkenaan melepaskan tiga das tembakan dan mengenai rusuk kiri mangsa. 
Lelaki warga asing itu tidak mempunyai sebarang pekerjaan telah mengaku mengambil upah untuk menembak mangsa," kata Shariffuddin.

Beliau berkata susulan penangkapan empat suspek tersebut, polis menahan seorang lelaki berusia 48 tahun dipercayai bergelar 'Datuk' dalam serbuan di Taman Permai Temerloh pada jam 10 pagi. 

Lelaki tersebut dipercayai mengupah warga asing itu untuk menembak mangsa terbabit kerana tidak berpuas hati dengan mangsa yang menuntut hutang daripadanya sebanyak RM350,000. 

"Kes dianggap selesai namun kita juga tidak menolak jika ada tangkapan dibuat selepas ini sekiranya terdapat suspek lain yang turut terlibat," katanya.

Beliau berkata kesemua suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian malam Jumaat, seorang ahli perniagaan berusia 37 tahun parah selepas terkena tiga das tembakan di rusuk kirinya di depan sebuah klinik swasta di Jalan Zabidin berhampiran Stesen Bas Mentakab.
kes tembak, ahli perniagaan

Artikel Lain