suria

Logo Halal Dijual Sindiket Tidak Bertanggungjawab

Pengarah Hab Halal Jakim, Hakimah Mohd Yusoff

EKSKLUSIF PETALING JAYA: Sebuah sindiket dikesan menjadikan logo halal sebagai bahan dagangan bagi mengaut keuntungan tanpa mengira kesan terhadap masyarakat Islam lain.


Aktiviti penyangak logo halal itu dipercayai dilakukan oleh sebuah persatuan usahawan Muslim yang menawarkan status halal kepada pengusaha produk makanan khususnya usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di kawasan luar bandar.

Difahamkan, sindiket yang turut menggunakan nama seorang lelaki bergelar Datuk itu menjerat pemohon sijil halal dengan mengadakan seminar sebelum memberi pengiktirafan tanpa merujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Malah, sindiket berkenaan juga tidak membuat pemeriksaan terhadap premis serta menyiasat status halal bahan asas yang digunakan oleh pemohon seperti yang disyaratkan oleh Jakim.

Setiap peserta dikenakan yuran sebanyak RM250 hingga RM600 untuk menyertai seminar dan sindiket berkenaan pula mampu meraih keuntungan lebih RM100,000 dalam setiap program yang diadakan.

Seminar ringkas itu kemudian berakhir dengan setiap peserta diberikan hak penggunaan logo halal atau pengiktirafan halal yang kononnya daripada Jakim.

Tidak cukup dengan itu, sindiket tersebut juga dikesan menggunakan nama syarikat yang mempunyai kerjasama dengan Jakim untuk menarik kepercayaan peserta seminar.

Sementara itu, Pengarah Hab Halal Jakim, Hakimah Mohd Yusoff berkata sijil halal dan pengiktirafannya yang sah hanya boleh dikeluarkan oleh Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) sahaja.

"Mana-mana pihak yang mengeluarkan sijil halal palsu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011, di bawah Perintah Dagangan, Perakuan Halal.

"Kita memang ada menerima aduan daripada orang awam mengenai pihak yang mengadakan seminar tersebut. Bagaimanapun, tindakan ini perlu diambil oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)," katanya kepada mStar Online, pada Jumaat.

Di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, seseorang yang didapati bersalah boleh dikenakan denda RM10,000 bagi setiap barang atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahn yang kedua atau yang berikutnya, mereka boleh didenda di bawah akta sama tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barang untuk syarikat, manakala bagi individu pula boleh dikenakan denda RM20,000 bagi setiap barang atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Jakim, sijil halal palsu

Artikel Lain