suria

Adun DAP Biadab, 200 Rempuh Pagar DUN Pulau Pinang

Sekumpulan lelaki merempuh pagar utama DUN Pulau Pinang kerana tidak puas hati dengan kenyataan Adun Sri Delima, Rabu.
GEORGE TOWN: Sekumpulan 200 lelaki membabitkan ahli Umno dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertindak merempuh pagar utama Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membantah tindakan wakil rakyat DAP yang membuat kenyataan yang disifatkan biadab.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.10 petang pada Rabu, sekumpulan lelaki itu bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati dengan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima, RNS Rayer yang menyebut "Celaka, Celaka, Celaka Umno' ketika membahaskan usul ucapan terima kasih di atas perasmian Yang DiPertua Negeri Pulau Pinang pada Sidang DUN Pulau Pinang pada Selasa.


Sehingga berita ini disiarkan, kumpulan itu hanya keluar dari pekarangan DUN menuju arah bertentangan bangunan itu pada pukul 4 petang dan masih belum bersurai sepenuhnya.

Insiden yang juga menyaksikan kumpulan berkenaan  melemparkan telur ke pintu utama DUN itu menyebabkan kesesakan lalu lintas di Lebuh Light, di sini.

Ketua Pembangkang merangkap Adun Teluk Air Tawar, Datuk Jahara Hamid turut mengecam tindakan Rayer yang disifatkan sebagai satu cubaan untuk merendah-rendahkan umat Islam.

Sementara itu, Adun Pulau Betong, Farid Muhammad Saad menemui penyokong Umno dan NGO di seberang jalan di hadapan bangunan DUN Pulau Pinang untuk mengawal keadaan.


"Kami tak boleh terima perkataan 'celaka' untuk semua orang Melayu.  Perhimpunan bukan bertujuan mencetuskan huru-hara tetapi menyatakan rasa kurang senang terhadap perkataan yang kesat  itu.

"Imuniti dewan tidak harus disalahgunakan dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan sehingga mencetuskan kemarahan dan tidak menunjukkan kematangan politik secara profesional," katanya.

Naib Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Jasmin Noordin ketika ditemui berkata, kenyataan Adun pembangkang itu menggambarkan Rayer sebagai ahli politik tidak matang.

"Kita minta YB Rayer tampil ke hadapan. Kita tidak akan berhenti di sini saja. Kalau dia tak keluar kami akan kejar dia sampai ke rumah," katanya.

Jasmin turut menuntut Rayer untuk memohon maaf dan menarik kata-katanya yang dilihat sengaja menyalakan sentimen perkauman.

"Selagi dia tak minta maaf, kita tunggu dia. Kalau dia tak nak keluar, minta maaf. Jangan kurang ajar dengan kita... jangan sentuh Melayu.

"Kita tak bagi tempoh masa untuk dia minta maaf. Kita mahu dia perbetulkan tindakannya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid yang hadir bersama sepasukan anggota polis mengarahkan kumpulan lelaki terbabit bersurai bagi mengelak keadaan tidak diingini berlaku.

Umno, NGO, RNS Rayer, Adun, Jasmin Noordin

Artikel Lain