suria

DCA Bincang Dengan Inmarsat Untuk Siar Data Mentah

Hishammuddin Tun Hussein
KUALA LUMPUR: Jabatan Penerbangan Awam (DCA) telah diarah berbincang dengan syarikat satelit United Kingdom, Inmarsat berhubung penyiaran data yang belum diproses kepada orang awam.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ini bagi memenuhi tuntutan anggota keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370 baru-baru ini yang mahu data mentah daripada Inmarsat.

"Ini selaras dengan pendirian kami berhubung ketelusan, selain mengutamakan kepentingan anggota keluarga mereka yang menaiki penerbangan MH370 itu," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin. 

Anggota keluarga penumpang warga China yang menaiki pesawat mencadangkan supaya pihak berkuasa Malaysia membeli data yang belum diproses daripada Inmarsat.

Seorang daripada mereka mencadangkan agar data yang dibeli dikongsi dan dapat diguna secara global bagi membolehkan maklumat dianlisis oleh pakar penerbangan.

Sementara itu, Hishammuddin berkata kumpulan pakar teknikal telah bermesyuarat di Canberra untuk berbincang dan memperhalusi data satelit, pengiraan dan analisis yang diberi oleh Inmarsat.

Misi mencari Penerbangan MH370 masuk minggu ke-10 sejak pesawat Boeing 777 itu dilapor hilang pada 8 Mac.

Pesawat itu yang dinaiki 239 orang termasuk 12 kru hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Operasi mencari MH370 sekarang dijalankan di perairan barat Australia di selatan Lautan Hindi.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata kumpulan pakar hidrografi dari Malaysia, China dan Australia bersetuju untuk menjalankan kajian "bathymetric" secara meluas di selatan Lautan Hindi.

"Kajian ini akan dijalankan oleh kapal tentera laut China, Zhu Kezhen (872) yang dijadual belayar ke kawasan kajian pada Rabu jika cuaca mengizinkan," kata beliau.

Artikel Lain