suria

Agong Dan Permaisuri Diberi Sambutan Rasmi Di Singapura

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah diiringi Presiden Singapura Dr Tony Tan Keng Yam berkenan memeriksa perbarisan kawalan kehormat pada sambutan rasmi lawatan negara baginda ke Singapura di Istana Singapura, Isnin. -fotoBERNAMA
SINGAPURA: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah diberikan sambutan rasmi di Istana di sini, pada Isnin.

Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah disambut Presiden Singapura Dr Tony Tan dan isteri Mary Tan.
Pasangan diraja itu tiba di sini pada Ahad untuk lawatan negara empat hari ke Singapura.

Pada majlis berkenaan, lagu kebangsaan kedua-dua negara, "Negaraku" dan "Majulah Singapura" dimainkan.

Selepas itu, Tuanku Abdul Halim menerima tabik hormat daripada Perbarisan Kehormat sebelum memeriksa perbarisan kehormat diiringi Presiden Tan.

Baginda berdua kemudiannya mengadakan kunjungan negara ke atas Presiden Tan dan isteri di West Drawing Room di Istana.
Satu majlis jamuan negara akan dihoskan presiden bagi meraikan pasangan diraja Malaysia itu di istana berkenaan, pada sebelah malam.

Lawatan negara oleh baginda berdua ialah sebagai membalas lawatan negara Presiden Tan dan isteri ke Malaysia pada September tahun lepas dan mencerminkan hubungan akrab yang lama terjalin antara Singapura dan Malaysia.

Artikel Lain