suria

Pasangan Panda Tiba Di Malaysia Akan Dikuarantin Selama Sebulan

Ekshibit panda yang telah siap dibina di Zoo Negara.
KUALA LUMPUR: Pasangan panda Fu Wa (panda jantan) dan Feng Yi (panda betina), yang dipinjamkan menerusi Program Perjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Giant Panda, bakal tiba di Malaysia pada Rabu.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G.Palanivel berkata bagaimanapun kedua-dua ekor panda itu akan dikuarantin selama sebulan di Zoo Negara.

"Pasangan Giant Panda akan dibawa dari Chengdu, China melalui penerbangan khas, MASKargo dan dijangka tiba di Malaysia melalui Kompleks MASKargo, Sepang pada Rabu.

"Dari situ, pasangan tersebut akan terus dibawa ke Zoo Negara dan bakal dikuarantin selama lebih kurang sebulan di ekshibitnya yang telah siap dibina di Zoo Negara," katanya dalam satu kenyataan media, Isnin.


Beliau berkata ketibaan pasangan Panda ini adalah sangat signifikan kerana kedua-dua negara bakal merayakan Sambutan Ulang tahun Ke-40 hubungan diplomatik Malaysia-China.

Pada 2012, Program Perjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Giant Panda di antara Malaysia dan Republik Rakyat China (RRC) telah ditandatangani.

"Melalui program ini, Malaysia berpeluang menjalankan penyelidikan konservasi Giant Panda di samping dapat membangun serta melatih kepakaran tempatan.

"Pengalaman serta kepakaran ini boleh digunakan bagi meningkatkan kesedaran mengenai usaha konservasi spesies-spesies tempatan seperti harimau, seladang, tapir dan beruang matahari," katanya.
panda, kuarantin, Zoo Negara, Fu Wa, Feng Yi

Artikel Lain