suria

PM, Isteri Mulakan Lawatan Rasmi Ke UAE

Najib disambut Menteri Kehakiman UAE, Hadef Jaw'an Al Dhaheri (dua, kanan) dan Duta UAE ke Malaysia, Abdulaa Mater Almazrauee (kanan) dan Ahmad Anwar (kiri) sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi di sini, malam Sabtu.

ABU DHABI: Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini malam Sabtu untuk memulakan lawatan rasmi tiga hari ke ibu negara Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, Perdana Menteri menaiki pesawat khas dari Kuala Lumpur dan mendarat di lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi pada 7.45 petang waktu tempatan (11.45 malam waktu Malaysia).

Menyambut ketibaan Najib di lapangan terbang ialah Menteri Kehakiman UAE Hadef Jaw'an Al-Dhaheri; Pengerusi Lembaga Hal Ehwal Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Mubadala Development Company, Khaldoon Khalifa Al Mubarak; dan Duta Besar Malaysia ke UAE Datuk Ahmad Anwar Adnan.

Delegasi Malaysia termasuk Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, serta pegawai kerajaan.

Lawatan itu atas undangan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed Zayed al Nahyan.

Perdana Menteri akan diberi sambutan rasmi ketibaan di Istana Mushrif (Istana Presiden) pada pagi Ahad sebelum mengadakan pertemuan empat mata dengan Putera Mahkota.

Bersempena lawatan itu, Kuala Lumpur dan Abu Dhabi dijadual menandatangani beberapa memorandum persefahaman (MoU) dan satu perjanjian ekonomi, yang akan merancakkan kerjasama antara kedua-dua negara dalam bidang pelancongan, pendidikan tinggi, hal ehwal Islam dan bisnes. 

Tiga MoU peringkat menteri, iaitu berhubung pelancongan, pendidikan tinggi dan hal ehwal Islam, akan ditandatangani di Istana Mushrif pada petang Ahad, di hadapan perdana menteri dan Putera Mahkota.

Pada Isnin, Najib akan menyaksikan upacara menandatangani satu lagi perjanjian kolaborasi perniagaan antara Lulu International Group yang berpangkalan di Abu Dhabi, dan merupakan rantaian hypermarket terbesar di Timur Tengah, dengan Felda, melibatkan pelaburan AS$200 juta (RM647 juta) untuk menubuhkan cawangan hypermarket itu di Malaysia.

Dengan populasi 921,000, Abu Dhabi adalah bandaraya kedua paling padat di UAE dan juga ibu kota negara terbesar dari tujuh anggota emiriah.

Ia juga adalah satu daripada rakan perdagangan penting Malaysia dari rantau Timur Tengah.

Pada 2013, UAE menjadi rakan perdagangan terbesar Malaysia di rantau ini dengan perdagangan berjumlah RM27.7 bilion (AS $8.8 bilion), pertambahan 11.7 % dari RM24.8 bilion (AS$8.0 bilion) pada 2012. 


Perdana Menteri, UAE, Abu Dhabi

Artikel Lain