suria

PRK Teluk Intan: Raja Bomoh 'Restu' Calon BN

TELUK INTAN: Bomoh sensasi, Ibrahim Mat Zin yang menggelar dirinya sebagai Raja Bomoh Sedunia dilihat hadir pada majlis pengenalan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan di sini, Sabtu.

Menurut Ibrahim, kehadirannya di majlis berkenaan ialah untuk memberi 'restu' kepada Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong yang dipilih sebagai mewakili BN pada pilihan raya itu nanti.

Hadir berpakaian kot dan bersongkok, Ibrahim dilihat memerhati perjalanan majlis dari jarak jauh.

"Saya boleh buat sesuatu untuk pastikan Mah menang...jika diperlukan.

"Saya fikir beliau ada peluang untuk menang," kata Ibrahim sambil memberitahu bahawa beliau sememangnya tidak menerima undangan daripada sesiapa ke majlis berkenaan.

Tan Keng Liang bersama Ibrahim Mat Zin di majlis pengenalan calon BN di Teluk Intan.


Mah, 53, berhadapan dengan Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Gelang Patah, Dyana Sofya Mohd Daud, 27, pada PRK yang akan diadakan pada 31 Mei ini.

Penyelaras Ketua Gerakan Teluk Intan, Choo Weng Kee menegaskan bahawa BN tidak menjemput Ibrahim ke majlis itu.

"Kami tidak nampak beliau tak tak tahu kehadirannya di sini," katanya.

Sementara itu sekeping gambar Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang yang dirakamkan pada majlis itu turut dikongsi secara meluas di laman sosial termasuk Twitter.

Tan kemudiannya membalas komen terhadap gambar berkenaan dengan berkata: "Tak perlu orang DAP cuba main isu saya ambil gambar dgn Bomoh Melayu. Sesiapa pun boleh ambil gambar dengan saya tak kira kaum, agama dan pekerjaan."

Artikel Lain