suria

Gerakan Militan Tiada Ruang Di Malaysia - KPN

Isteri Ketua Polis Negara, Puan Sri Imran Ibrahim (dua, kanan) membetulkan kain selempang Tan Sri Khalid Abu Bakar (kanan) sambil diperhatikan Ketua Polis Perlis, Datuk Zull Aznam Haron (dua, kiri) pada Istiadat Penganugerahan Darjah dan Pingat Sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan baginda yang ke-71 di Istana Arau pada Sabtu. Khalid menerima Darjah Seri Paduka Mahkota Perlis (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri dari Tuanku Raja Perlis. -fotoBERNAMA
ARAU: Gerakan militan di Malaysia tidak akan diberi ruang atau peluang untuk mengancam keselamatan negara, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata polis tidak akan membiarkan sebarang elemen atau apa sahaja yang boleh dikaitkan dengan gerakan pengganas untuk bertapak dan berkembang di sini.

"Insya-Allah kita sentiasa buka mata seluas-luasnya kerana menjadi tugas serta tanggungjawab kita untuk memantau sepanjang masa aktiviti rakyat dan warga asing yang mungkin mempunyai elemen gerakan pengganas.

"Saya hendak ingatkan dan memberi amaran apa sahaja ancaman mereka terhadap keselamatan negara tidak akan dibenarkan, dan mereka juga tidak akan terlepas daripada jaringan kami.

"Kita juga sentiasa berusaha keras membanteras gerakan militan dari awal supaya mereka tidak berpeluang bertindak," katanya kepada pemberita ketika mengulas perkembangan gerakan militan di Malaysia.

Beliau ditemui di Istana Arau selepas menerima anugerah Darjah Seri Paduka Mahkota Perlis (SPMP) yang membawa gelaran 'Datuk Seri' daripada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bersempena sambutan ulang tahun ke-71 keputeraan baginda pada Sabtu.

Khalid juga berkata sebarang maklumat terkini, termasuk usaha yang dijalankan dan cara polis bekerja, tidak boleh didedahkan agar risikan tidak terjejas.

"Biarlah ini menjadi rahsia polis namun kita sentiasa bekerjasama rapat dan bertukar maklumat risikan dengan agensi kerajaan yang berkaitan," katanya.

Beliau berkata ketika ini, Malaysia aman dan bebas ancaman gerakan militan.

Katanya, polis mempunyai anggota yang mencukupi untuk menjalankan tanggungjawab termasuk menangani aktiviti pengganas.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain