suria

Wanita Mongolia Diperintah Bela Diri, Teman Lelaki Bebas Tuduhan Edar Dadah

SHAH ALAM: Seorang penuntut sebuah kolej swasta warga Mongolia hari ini diperintah membela diri atas tuduhan mengedar dadah jenis heroin dan morfin seberat 363.6 gram yang didakwa dilakukan bersama teman lelakinya di sebuah rumah di Subang Jaya dekat sini pada Januari 2013.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Zolzaya Natsagdorj, 26, penuntut jurusan pengurusan dan perniagaan antarabangsa.

Teman lelaki wanita itu, Barsbaatar Ganbold, 22, juga warga Mongolia, bagaimanapun dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan tanpa dipanggil membela diri setelah mahkamah mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atasnya.

Hakim Akhtar menetapkan 22 Mei ini untuk Zolzaya, yang diwakili peguam L A Gomes, membela diri.

Dalam penghakimannya, beliau berkata mengikut keterangan Zolzaya kepada pihak polis, wanita itu mendakwa beg berisi dadah itu telah diberikan kepadanya oleh seseorang.

Hakim Akhtar berkata Zolzaya bagaimanapun mengakui mengetahui kandungan di dalam beg itu, malah ketika serbuan, wanita itu kelihatan terkejut dan cemas.

Daripada tingkah lakunya, ada kesimpulan yang munasabah dia mengetahui sesuatu, katanya.

Mengenai Barsbaatar, beliau berkata penuntut jurusan teknologi maklumat (IT) di sebuah institut pengajian tinggi swasta itu hanya seorang pelawat (di tempat kejadian), jadi tiada keterangan untuk mengaitkannya dengan pemilikan dan pengetahuan ke atas dadah berkenaan.

Barsbaatar diwakili peguam Eugene Tan.

Pasangan kekasih itu didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis heroin seberat 278.6 gram dan monoacetylmorphine seberat 85 gram di rumah berkenaan pada 1.30 pagi, 26 Jan 2013.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2)

Akta sama yang memperuntuk hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Sepanjang perbicaraan, Timbalan Pendakwa Raya Iswa Tonie yang mengendalikan pendakwaan, mengemukakan empat saksi untuk memberi keterangan.

bela diri, edar dadah

Artikel Lain