suria

SPRM-BMR Bakal Hasilkan Dokumen Cegah Rasuah Rentas Sempadan

Mustafar (kanan) dan Hamdani.
BANDAR SERI BEGAWAN: Biro Mencegah Rasuah Brunei Darussalam (BMR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merancang untuk mewujudkan satu dokumentasi strategik berkenaan rangkaian kerja kedua-dua agensi itu sejak 12 tahun lalu sebagai panduan dan kayu ukur usaha pencegahan rasuah merentasi sempadan.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, usaha pencegahan rasuah melalui perkongsian lestari dan operasi bersama antara dua agensi penguatkuasaan ini adalah inisiatif yang  diiktiraf  United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC).

Beliau yang mengetuai delegasi SPRM ke Persidangan Operasi dan Rangkaian  Kerjasama bersama agensi pencegahan rasuah negara itu berkata, kerjasama dan bantuan bersama yang diberikan BMR adalah salah satu faktor yang membolehkan Malaysia menerima pengiktrafan UNODC.

Katanya, pencegahan rasuah tidak boleh hanya dilakukan oleh SPRM, sebaliknya memerlukan kerjasama pelbagai pihak, baik di dalam negara atau antarabangsa.

"BMR dan SPRM telah menjalin kerjasama melalui rangkaian kerja ini selama 12 tahun dan telah berkongsi banyak kejayaan dari sudut operasi antara sempadan.

"Perkongsian bestari di antara kedua agensi ini menterjemahkan semangat antarabangsa, terutama pada zaman di mana jenayah rasuah melangkaui sempadan teknologi siber.

"Jadi kesepaduan agensi penguatkuasaan rasuah antara negara jiran itu perlu sepertimana yang telah digariskan dalam United Nations Conventions Against Corruption," katanya ketika ditemui pada Persidangan Rangkaian Kerja dan Operasi SPRM-BMR yang berlangsung selama dua hari di sini.

Mustafar turut melakukan kunjungan hormat ke atas Pengarah BMR, Datuk Paduka Juanda M Rashid.

Menurutnya, tahun lalu, persidangan rangkaian kerjasama ini telah diadakan buat kali pertama di Kota Kinabalu dan deklarasi mengenainya telah dihasilkan.

"Deklarasi itu dianggap sebagai azam dan iltizam bersama kedua agensi penguatkuasaan dalam bersama memerangi rasuah  bersama-sama antara kedua negara.

"Ini telah diterjemahkan melalui kerjasama melalui rangkaian kerja, operasi secara khususnya dimana kita juga turut mengadakan hubungan  dua hala dengan agensi Brunei.

"Ketika ini kerjasama tersebut diadakan dari aspek siasatan dan perisikan di mana ia turut membabitkan bantuan dari segi usaha mengesan saksi, rakaman keterangan, pencarian maklumat dan 'undercover'," katanya.

Ketika ditanya mengenai perancangan masa hadapan bagi rangkaian kerja ini, beliau berkata, cadangan supaya perancangan yang lebih strategik diwujudkan supaya inisiatif ini turut mendapat perhatian diperingkat pemimpin negara antarabangsa.

Ini memandangkan kerjasama antara dua negara ini telah dijadikan model dan turut dibentangkan pada persidangan antirasuah antarabangsa di Panama City baru-baru ini.

Artikel Lain