suria

PM India Hargai Usaha Najib Lakukan Transformasi Terhadap Hubungan India-Malaysia

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (kiri) berbual sesuatu dengan Perdana Menteri India Dr Manmohan Singh semasa membuat kunjungan hormat di kediamannya di Panchavali, New Delhi pada 2012. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri India Dr Manmohan Singh menyampaikan penghargaan tingginya kepada Datuk Seri Najib Tun Razak atas komitmen dan kegigihan beliau dalam membantu melakukan transformasi terhadap hubungan India-Malaysia. 

Kenyataan Suruhanjaya Tinggi India di sini pada Khamis berkata Manmohan mengutuskan sepucuk surat kepada Perdana Menteri Malaysia itu semalam untuk menyampaikan perkara tersebut.

Dalam surat tersebut, Manmohan Singh menyatakan bahawa pertukaran kunjungan antara mereka pada 2010 serta langkah meningkatan hubungan India-Malaysia ke tahap perkongsian strategik, telah membuka lembaran baharu dalam hubungan India-Malaysia.

"Perdana Menteri (Manmohan Singh) menambah bahawa wujud dinamisme dan momentum baharu dalam hubungan kita (antara India dan Malaysia), manakala kerjasama pula menjadi lebih komprehensif dan kini meliputi pelbagai bidang," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi Manmohan Singh juga mengucapkan terima kasih kepada Malaysia atas sokongan negara ini dalam usaha mengeratkan perkongsian antara India dan Asean.

Manmohan Singh turut menyentuh tentang persahabatan mesra dan akrab yang terjalin antara beliau dan Najib sejak beberapa tahun lepas serta menyuarakan keyakinannya bahawa kepimpinan Najib akan terus penting dalam mengukuhkan hubungan dua hala dan dalam mengukuhkan kerjasama serta integrasi serantau.

Manmohan Singh, yang tidak bertanding dalam pilihan raya baru-baru ini, akan berundur Sabtu ini.
Dr Manmohan Singh, India, Malaysia

Artikel Lain