suria

Pencarian MH370 Memasuki Fasa Baharu

Hishammuddin Tun Hussein
KUALA LUMPUR: Malaysia dan China mengerahkan aset yang lebih spesifik untuk operasi mencari MH370 yang memasuki fasa baharu selain menggunakan aset komersial.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Malaysia juga sedang dalam proses bagi mendapatkan aset berkaitan daripada Petronas, SapuraKencana, Boustead dan Deftech dalam usaha membantu carian.

Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia, Australia dan China bersetuju untuk mengadakan persidangan mingguan dengan cara persidangan video selepas tiga negara itu mengadakan perbincangan di Canberra minggu lalu,

Persidangan itu yang akan bermula pada 19 Mei ini bertujuan bagi membincangkan perkembangan terkini mengenai operasi pencarian MH370.

Mengenai urusan waris, Hishammuddin berkata Australia bersetuju menyediakan kemudahan dan maklumat yang diperlukan oleh waris penumpang MH370 dari segi syarat kemasukan bagi memastikan perjalanan mereka ke dalam dan ke luar Australia berjalan dengan baik.

Katanya, kerajaan di barat Australia akan mengambil peranan utama dalam menyediakan keperluan asas kepada keluarga waris.

“Malaysia Airlines (MAS) akan bertanggungjawab bagi urusan perjalanan untuk keluarga di Malaysia dan semua negara yang terbabit. MAS juga akan terus bertanggungjawab terhadap keluarga waris dengan menanggung tiket penerbangan, kemudahan, pengangkutan dan sokongan.

“Kerajaan China juga memberi jaminan bahawa mereka akan terus aktif memberikan sokongan kepada perkara yang membabitkan waris rakyatnya,” katanya pada sidang media MH370 di sini, Khamis.
MH370, Hishammuddin Tun Hussein

Artikel Lain