suria

Lelaki Ditahan Ketika Edar Dadah

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki yang sedang menjalankan aktiviti pengedaran dadah dan merampas dadah bernilai RM163,000 dalam serbuan di Jalan Radin Anum, Bandar Baru Seri Petaling di sini Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Muhammad Azlee Abdullah, berkata dadah yang dirampas merupakan pelbagai jenis, dipercayai untuk pasaran di Lembah Klang.

"Kedua-dua suspek dipercayai sedang membuat urusan pengedaran dadah berhampiran sebuah restoran di jalan terbabit.

"Hasil pemeriksaan terhadap sebuah kereta jenis Honda Accord yang dipandu oleh seorang daripada mereka di hadapan restoran tersebut, polis menemui pelbagai jenis dadah di bahagian bawah tempat duduk penumpang kereta terbabit," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Dadah yang ditemui ialah jenis Erimin 5 sebanyak 7,000 biji yang dianggarkan mempunyai berat 2.270 kg dan dadah jenis Ecstasy berjumlah 2,880 biji seberat 1.13 kg, katanya.

Muhammad Azlee berkata ujian saringan air kencing juga mendapati kedua-duanya positif dadah jenis Methamphetamine.

"Mereka berusia 39 tahun dan 36 tahun dan kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 4 Mei. Kes disiasat di bawah Akta 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.


Dadah, Polis

Artikel Lain